Dalam reda menerima ketentuan Tuhan dan percaya soal rezeki dari Allah, namun kedua-duanya yakin rezeki untuk menimang cahaya mata pasti akan tiba jua. 

Apa pun Izzue atau pemilik nama sebenar, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, mengaku pernah tertekan apabila sering diajukan soalan mengenai anak. Sebagai manusia biasa 1,001 persoalan tentang hal tersebut sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada perasaan Izzue dan isteri.

Lebih berasa sedih dan kecewa apabila ada pihak yang membanding-bandingkan mereka dengan pasangan lain. 

Namun, kesedihan tersebut tidak berpanjangan kerana mereka sentisa berfikir positif dan yakin semua yang berlaku adalah aturan Allah buat hamba-hamba-Nya. 

“Semua pasangan yang berkahwin pasti inginkan cahaya mata. Kata orang anak adalah pengikat kasih sayang suami isteri.

“Dari luaran memang orang selalu nampak saya seperti tidak kisah apabila sering diajukan persoalan tentang anak. Namun hakikatnya, jauh dalam lubuk hati saya pernah tersentuh hati memikirkan hal itu. 

“Iyalah… saya juga manusia biasa. Sekuat mana pun semangat saya, ada kalanya saya lemah dan perlukan sokongan daripada isteri, keluarga serta mereka yang memahami kedudukan kami.

“Sepanjang enam tahun mendirikan rumah tangga, saya pernah stres apabila memikirkan soal anak terutama pada tahun ketiga dan keempat kami berkahwin. 

“Stres bukan kerana kami belum dapat anak, tetapi tertekan kerana terlalu ramai orang bertanya pasal cahaya mata. Itu belum lagi kata-kata negatif warganet yang sering membuat pelbagai andaian tanpa menjaga hati,” ujar Izzue membuka bicara.

Namun kata Izzue, apabila usia perkahwinan mereka memasuki tahun kelima, dia sudah mula membiasakan diri dan tidak lagi terbeban dengan hal tersebut. 

“Saya sedar lambat atau cepat itu semua kerja Allah. Pasti ada hikmahnya yang kami tidak tahu.

Dia adalah sebaik-baik perancang. Lagi pun, kami bukannya tidak berusaha atau mencuba, cuma rezeki belum ada. Apa-apa pun kami akan terus berdoa,” luah Izzue.