Suka atau tidak, beliau yang berada dalam kedudukan Gred A sentiasa mencipta magis tersendiri setiap kali muncul dengan buah tangan baharu.

Pada masa sama, penghibur yang disokong kerjaya seninya oleh syarikat pengurusan, Siti Nurhaliza Productions (SNP) Sdn. Bhd., menyedari bahawa dalam arus industri muzik semasa yang semakin kompleks dan sukar diramal persekitarannya, perancangan yang teliti menjadi keutamaan untuk memastikan perjalanan karier buah hati kesayangan Malaysia itu tidak terbantut.

Apatah lagi, selepas lebih dua dekad menjadi penghibur negara, suka atau tidak Siti Nurhaliza, 39, perlu sentiasa muncul dengan buah tangan baharu lantaran para pencintanya tidak pernah bosan mahu melihat dan mendengar naskhah-naskhah yang segar daripadanya.

Kerana itu, Anta Permana yang mula dipasarkan hari ini menjadi pertaruhan terkini dalam menarik perhatian peminatnya.

Single ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong merupakan manifestasi terhadap kecintaan Siti Nurhaliza kepada bidang nyanyian yang terlalu akrab dengannya.

Seiring dengan kecintaan Siti Nurhaliza pada karier seni yang tiada batasnya, Anta Permana membawa maksud yang serupa iaitu tidak terkira atau infiniti.

“Tentu sekali tajuk lagu ini juga memberi makna yang cukup besar buat saya. Anta Permana atau tidak terkira (infiniti) merupakan lambang kecintaan saya kepada bidang seni suara. Terjemahan ini juga memiliki pertalian yang rapat terhadap kasih sayang saya buat peminat yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaan saya,” kata Siti Nurhaliza dalam temu bual dengan Mega Hits semalam.

Ralit bercerita mengenai Anta Permana, bagi Siti Nurhaliza, single ini bukan sebuah naskhah yang sembarangan.

Kali pertama mendengar melodinya sudah cukup membuatkan penyanyi lagu Jerat Percintaan dan Cindai ini jatuh cinta.

“Tanpa fikir panjang saya terus bersetuju dan minta Kak Rozi (pengurus peribadinya) maklumkan persetujuan saya kepada Hael dan Ezra. Saya fikir lagu ini harus dirakam dan diperdengar kepada para peminat saya dan pencinta lagu Melayu kerana memiliki nilai seni yang cukup istimewa,” sambung Siti Nurhaliza mengenai lagu yang berteraskan gabungan melodi moden dan klasik.

Istimewanya, Anta Permana menyaksikan kerjasama sulung antara Hael Husaini dan Ezra Kong. Kesediaan ibu kepada Siti Aafiyah ini memilih karya dua komposer itu ialah kerana bakat yang dimiliki kedua-dua penggiat seni itu.

“Lagu itu berkisar cinta sejati yang tiada bandingannya. Selain pemilihan judul dan maknanya yang bertepatan dengan lirik lagu, Saya juga berusaha memperkenal kembali perkataan Melayu klasik yang jarang digunakan.

“Saya menaruh harapan tinggi dengan kemunculan single baharu ini dan berharap peminat muzik tempatan akan menyukainya.

“Saya anggap Anta Permana sebagai karya yang segar, mesra telinga dan mempunyai keunikan tersendiri menerusi gabungan muzik moden serta klasik,” kata isteri kepada usahawan ternama, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu lagi.

ANTA PERMANA

Bicara minda
Dendangan hati
Jiwa dan raga yang melengkapi
Bagaikan-bagaikan hangat mentari
Cinta yang sejati

Jauh di mata dekat di hati
Jika dirindu jangan curangi
Ke mana-ke mana kan terbawa pergi
Terduga diuji

Oh bila tersedar semuanya
Sempadan ilusi

Korus:

Andai bintang kan tak lagi berseri
Janji kasih yang takkan terkhianati
Andai habis nafasku yang terakhir
Masih ku cinta
Kerna ku pasti
Kau tiada pengganti

Sedangkan lidah tergigit jua
Inikan pula cinta manusia
Melayang-melayang
Bibawa pawana
Iringi cintamu

Biar dikenang budi kasih dan sayang
Biar-biarkan cinta anta permana