Menurut Wani atau pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah itu, kegagalannya menjejakkan kaki di bumi Los Angeles, Amerika Syarikat ekoran kesukaran mendapatkan tajaan berupa wang tunai sebanyak RM20,000 pada saat-saat akhir.

“Memang benar, saya tak jadi ‘terbang’ ke sana untuk menyertai pertandingan itu. Segala yang telah dirancang musnah kerana gagal memperoleh penaja untuk membiayai perbelanjaan di sana.

“Tidak dinafikan, perbelanjaan memang besar. Pihak penganjur telah pun menaja sebanyak RM6,000, namun masih tidak mencukupi untuk menanggung kos lain seperti pembelian tiket penerbangan, penginapan dan sebagainya.

“Kegagalan tersebut sekali gus membantutkan niat saya untuk kembali bertanding,” akuinya yang pernah menyertai WCOPA bagi kategori junior kira-kira enam tahun lalu.

Tambah Wani, dia mula berhadapan masalah berkenaan sejak dua bulan lalu, namun masih kuat dan tabah untuk mengharunginya secara perlahan-lahan.

Pun begitu, berbaki kurang dua minggu dari tarikh penerbangan, akhirnya Wani akur dan mengalah.

“Saya reda dan pasrah. Mungkin tiada rezeki saya untuk ke sana kembali memahat nama setelah memenangi lima pingat pada WCOPA 2012,” katanya berserah.

Dalam pertandingan WCOPA 2012, Wani membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak dan satu pingat gangsa selain diiktiraf selaku penerima Anugerah Industri Hollywood. - UTUSAN ONLINE