MAMAT KHALID


Mamat, 54, berpendapat, sebagai seorang pembikin filem, adalah perlu baginya meneroka pelbagai genre filem bagi memastikan dia tidak berada di takuk lama. 

“Walaupun dikenali sebagai pengarah filem yang sering menghasilkan karya komedi dan kelakar tapi jauh di hati saya teringin nak buat skrip serius.

“Alhamdulillah biarpun ambil masa selama enam tahun untuk hasilkan sebuah filem berunsur kerohanian, saya puas hati dengan hasilnya,” katanya kepada wartawan pada majlis tayangan filem Lebuhraya Ke Neraka di sini hari ini. 

Filem Lebuhraya Ke Neraka yang bakal menemui penonton tempatan mulai 4 Mei ini membariskan pelakon hebat antaranya Datuk Awie, Khir Rahman, Pekin, Miera Leyana, Dazrin Kamarudin, Shah Jaszle dan Fatin Syahirah.

Menurut Mamat, biarpun pada awalnya dia berasa agak janggal dengan penghasilan skrip terbabit, namun dia nekad untuk teruskan pengarahan filem itu demi satu tujuan iaitu kerohanian.

“Sesekali saya nak juga buat satu cerita yang segar dan dekat dengan penonton kita. Cerita ini banyak bagi pengajaran dan beri bayangan di mana peminat filem tempatan sendiri dapat tafsirkan.

“Saya harap filem ini dapat beri satu suntikan kebaikan dalam diri seseorang sekaligus mendapat sambutan hangat,” katanya. - UTUSAN ONLINE