Konsert Raaja The One Man Show yang akan diadakan di Stadium Tertutup Bukit Jalil diyakini bakal menjadi konsert Kollywood terbesar yang pernah dianjurkan di Malaysia setakat ini dengan 15,000 penonton.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), My Events International, Shahul Hameed Dawood berkata,

ikon muzik yang pernah menghasilkan kira-kira 6,000 buah lagu melibatkan lebih 1,000 buah filem pelbagai bahasa itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 3 petang,  Khamis ini.

“Beliau akan menemui peminatnya di Brickfields, berhampiran kolam pancutan air pada Sabtu ini, kira-kira pukul 8 malam untuk mempromosikan serta merasmikan pelancaran tiket konsert itu,” katanya di sini hari ini.

Konsert mini di Brickfields yang bermula dari pukul 6 petang itu kata Sharul, akan disertai oleh artis-artis tempatan.

Bagaimanpun beliau enggan mendedahkan sama ada Ilaiyaraaja akan menyanyi pada konsert mini pada Sabtu ini atau sebaliknya.

Beliau menjangkakan kira-kita 3,000 peminat pemuzik terkenal itu akan hadir pada konsert di Brickfields yang diadakan secara percuma itu.

Sinonim dengan jolokan ‘isai gnani’ (genius dalam muzik) itu, lagu Rakkamma Kaiya Thattu dari filem Thalapathi, hasil gubahan beliau pada tahun 1991 pernah menguasai tempat ke-4 di carta muzik antarabangsa sebagai lagu paling popular sepanjang zaman dengan mengumpulkan undian terbanyak dari 155 buah negara pada 2003.

Malah tinjauan yang dijalankan oleh portal hiburan terkenal, Taste of Cinema pula meletakkan komposer muzik berusia 74 tahun itu di tempat ke-9 daripada 25 pemuzik terhebat di dunia.

Antara filem yang melonjakkan nama beliau di barisan pemuzik popular antarabangsa adalah seperti Anjali, Thalapahi, Thevar Magan, Nayagan, Mouna Ragam, Moondram Pirai dan Mahanadhi.

Pemilik nama sebenar Gnanathesikan ini dilahirkan di Pannaipuram, sebuah daerah di Theni, Tamil Nadu. Ketika mendaftar di sekolah, bapanya menukar nama beliau sebagai

Rajaiya tetapi orang kampungnya sering memanggilnya sebagai Raasayya.

Apabila menyertai kelas muzik pula, guru beliau, Dhanraj menamakannya sebagai Raaja dan pada filem pertamanya Annakili, penerbit filem terbabit, Panchu Arunachalam menambahkan Ilaiya (muda) sebagai awalan pada namanya dan bertitik-tolak dari itulah, maka lahirlah ikon muzik terkenal, Ilaiyaraaja. - UTUSAN ONLINE