s
 

Ya, seperti yang diketahui ramai nama pengarah ini sedikit panas sejak akhir-akhir ini. Semuanya gara-gara kutipan filem Pencuri Hati Mr. Cinderella hanya mampu mengutip RM18,000 di panggung sepanjang ditayangkan dan itu juga yang membuatkan banyak komen negatif yang menghentam dirinya.

Ada yang berpendapat zamannya sudah berlalu dan tak kurang juga yang mempertikaikan alasan ekonomi negara tidak menentu sebagai perkara yang tak seharusnya dijadikan alasan.

Idham tidak berkecil hati dengan segala tohmahan. Baginya apa mereka yang memberikan komen bukan kurang memahami industri kreatif dan hanya pandai memberikan komen berdasarkan kutipan di panggung semata-mata.

“Sejak awal lagi saya sudah mengetahui risiko membawa filem ini ke panggung. Tapi perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana dalam industri kreatif, ada try and error. Tak menjadi masalah besar pun sebenarnya jika filem ini tak mencapai kutipan yang banyak di panggung.

“Untuk pasaran filem, masih ada beberapa platform lain seperti Astro First dan filem tersebut juga boleh dijual ke stesen televisyen. Itu belum dikira platform media baharu yang lain serta jualan kepada negara lain seperti Brunei dan Singapura. Jadi tak kutipan dari situ juga akan memberikan pendapatan kepada penerbit. Sebab itu saya kata, orang yang komen dan menghentam tiada ilmu pengetahuan tentang itu. Mereka hanya tahu nak membantai sahaja!” kata Idham memberikan penjelasan.

Pun begitu dia tetap berbangga dengan pujian yang diterima daripada ramai individu yang sudah menonton filem lakonan Datuk Eizlan Yusuf, Atikah Suhaime, Faye Kusyairy, Hairul Azreen dan Cat Farish ini memandangkan rata-rata mereka memberikan komentar positif tentang penceritaan.

Tentu sekali sebagai tulang belakang kepada filem ini, Idham berpuas hati memandangkan kandungan Pencuri Hati Mr. Cinderella tidak klise, diberi nafas baharu dan boleh diterima ramai walaupun tidak mendapat kutipan yang memberangsangkan di panggung.

“Sebagai pembikin filem, saya sudah tahu bagaimana permainan industri. Kalau saya tidak mencabar diri untuk memberikan kelainan dalam karya, bagaimana mahu berdaya saing? Sebab itu saya tak pernah anggap Pencuri Hati Mr. Cinderella sebagai satu kegagalan sebaliknya adalah satu pelajaran baharu.

“Apa-apa pun, ini menambahkan lagi semangat saya untuk menghasilkan filem yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya yang bakal mengarahkan filem Hantu Wangan yang memperta­ruhkan Achey Kintang Kintung sebagai teraju utama.

 

RISIKO

MENGIMBAS kem­bali tentang naskhah ini, Pencuri Hati Mr. Cinderella adaptasi daripada drama Cinderella yang pernah popular dua dekad yang lalu. Tentu sekali fenomena yang pernah dicetuskan oleh Idham dan gandingannya Haliza Misbun masih kekal dalam ingatan sebahagian besar peminat ‘dewasa’ tanah air.

Tambah Idham, dia sedar drama TV yang disiarkan secara percuma ketika itu mempunyai risiko jika dijadikan filem dan perkara itu sudah diperhalusi sejak awal lagi. Tentu sahaja sebagai penerbit dia bersedia berhadapan dengan apa sahaja impak negatif seperti yang sedang dilaluinya kini.

“Memang risiko itu sudah diketahui sejak awal. Tapi jika mahu membawa naskhah yang sama ke kaca TV, belum tentu diterima. Kebanyakan stesen TV kita sudah mempunyai corak drama yang mereka mahukan serta pelakon yang popular di media sosial sahaja. Ini yang tak berapa kena sebenarnya.

“Mereka menilai populariti artis berdasarkan jumlah pengikut di Instagram sahaja. Apa pula jadi kepada pelakon yang tak ramai pengikut tetapi mempunyai kualiti? Sebab itu saya rela menghasilkan sebuah filem dengan sejumlah modal asalkan dapat membawa pelakon yang bagus dan berkualiti terus ke hadapan,” kata Idham menjelaskan kekeliruan.

Pun begitu, ditanya mengenai kerugian yang ditanggung ketika ini, dia tenang memberikan jawapan.

Tegasnya, sebagai seorang penerbit dan ahli perniagaan, soal untung rugi bukan satu hal asing bagi dirinya. Semua ini sudah menjadi asam garam dan dia tidak terjejas serta berhutang seperti mana yang digembar-gemburkan.

“Tayangan di Astro First baru sahaja bermula dan saya yakin ramai yang akan melanggan filem ini memandangkan ramai pengikut Cinderella sudah dewasa dan lebih selesa menonton di rumah. Ini akan memberikan pendapatan tambahan kepada penerbit juga selain menjual filem ini dengan cara lain,” katanya lagi.