Ahmad Idham

Mula ditayangkan pada 25 Jun lalu bersamaan 1 Syawal, bagaimanapun Idham bersyukur filem lakonan Dayana Roza itu masih mampu meneruskan tayangan untuk minggu kedua dan berharap sokongan kuat peminat jentera dua roda.

“Minah Moto terpaksa bersaing dengan filem-filem hebat Hollywood seperti Transformers dan Spiderman yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat setia sekian lama.

“Walaupun ada yang menyifatkan filem ini gagal sebaliknya bagi saya Minah Moto adalah mangsa kepada kelemahan pengurusan pengurusan wajib tayang yang kurang bijak menyusun masa tayangan ketika musim raya.

“Namun saya masih boleh berbangga filem ini mampu berdiri dengan sendirinya di celah-celah kehebatan dua filem aksi tersebut sehingga mengutip hasil jualan tiket kira-kira RM450,000 untuk minggu pertama,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE.

Tambah sutradara yang kini mengusahakan sebuah sekolah pendidikan khas untuk kanak-kanak istimewa, Eden Firdaus Centre For Special Education, dia yakin filemnya akan lebih bernasib baik jika ditayangkan selepas Aidilfitri.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Idham sedang memberi tumpuan terhadap strategi pemasaran filem seterusnya, Pencuri Hati Mr. Cinderella yang kembali menyatukannya dengan Haliza Misbun.

Diinspirasikan daripada drama popular lakonan mereka berdua kira-kira 20 tahun lalu, filem berkenaan dijangka bakal ditayangkan pada 10 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE