Dalam drama arahan Hadith Omar itu, Alif berlakon sebagai Adam Putra dan Siti Nordiana atau Nana sebagai Kasih Lateefa. Untuk drama yang bakal disiarkan Mei ini di Astro, Alif akui, agar sukar untuk mereka memberikan lakonan yang terbaik.

Ini kerana selepas drama Dia Semanis Honey, mereka digandingkan dalam telefilem Dia Semanis Honeymoon dan Dia Semanis Raya serta teater muzikal Dia Semanis Honey. Ternyata kesinambungan drama Dia Semanis Honey sedikit sebanyak ‘mendera’ mental Alif dan Nana untuk memberikan kelainan dalam drama Pengantin Musim Salju.

“Alhamdulillah, boleh dikatakan drama Dia Semanis Honey adalah pembuka rezeki untuk kami. Siapa sangka, dua orang pelakon yang bukan siapa-siapa ini mendapat kepercayaan pihak Astro untuk beri kami peluang berlakon bersama-sama lagi.

“Bila sudah beberapa kali berlakon bersama-sama, untuk yang baharu memang sukar sedikit. Kami tidak mahu penonton membandingkan lakonan kami dengan drama sebelum ini.

“Dalam drama sebelum ini penonton mesti sudah dapat menjangka apa yang akan berlaku, kali ini karakter kami berbeza. Tunggu saja tayangan Pengantin Musim Salju nanti,” kata Alif.

Apabila kerap berlakon dengan Nana, tidakkah ‘mati kutu’ bila berada di set penggambaran? Bagaimana pula cara untuk memastikan penonton tidak bosan melihat lakonan mereka?

Jelas Alif, dengan Nana, dia tidak ada masalah biarpun mereka berbeza latar belakang dari segi seni suara.

“Sesungguhnya, saya dan Nana berbeza sangat. Dulu mula-mula berlakon, lagilah susah nak cari keserasian tapi semua itu dapat diatasi kerana Nana jenis yang boleh dibawa berbincang. Setiap kali di set, kami akan buat latihan bersama-sama dan dia juga mudah menerima pandangan saya.

“Saya pula jenis yang suka buat kerja secara berkumpulan dan bukan nak tonjolkan diri semata-mata. Saya ada berlakon dengan pelakon lain tapi dengan Nana ini lain. Saya tak tahu nak jelaskan tetapi rasanya berlakon dengan Nana ada magik sebab orang dapat rasa keserasian itu,” akuinya.

Tambahnya, berlakon dengan wanita itu juga tidak memerlukan mereka mencipta tagline semata-mata untuk menarik perhatian ramai kerana pasangan lakonnya itu mampu memberi lakonan secara semula jadi.

Kata Alif, kalau di set penggambaran, dia tidak suka serius dan lebih selesa bersikap ceria kerana keceriaan akan memudahkan urusan.

Perkara itu tidak dinafikan oleh Nana yang berkata, Alif suka membuat lawak sewaktu di set sehingga ada ketikanya dia perlu melakonkan beberapa babak sehingga dua tiga kali.

“Bayangkan, saya kena berlakon babak sedih (tetapi) dia di hujung sana buat lawak, macam mana nak fokus. Tetapi berlakon dengan Alif tak tertekan kerana kami banyak berbincang.

“Siapa sangka gandingan kami boleh sampai ke tahap ini. Bersyukur kerana kami saling bantu membantu dan harap di masa akan datang, lebih banyak rezeki lagi,” kata Nana pula.

Buat konsert kerana peminat

MENURUT Pengarah Urusan Adi Media Pte. Ltd., Dian Rasid, penganjuran konsert menggandingkan Alif dan Nana dibuat selepas menerima pandangan daripada orang ramai di Singapura.

Kata Dian, populariti drama Dia Semanis Honey adalah antara penyebab peminat mereka mahu melihat pasangan tersebut beraksi di atas pentas.

“Pihak kami banyak mendapat saranan daripada orang ramai yang mahu Nana dan Alif buat konsert di Singapura. Saranan itu tidak dipandang sepi kerana Nana dan Alif masing-masing adalah penyanyi dan daripada buat acara perjumpaan begitu saja, baik buat konsert.

“Sejak jualan tiket dibuka pada 24 April lalu, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Tiket-tiket boleh dibeli menerusi www.rosevalley.sg pada harga S$148 (RM435), S$78 (RM229) dan S$48 (RM141). Sesiapa yang membeli tiket awal sehingga 20 Mei ini akan mendapat potongan harga. Itu bonus yang diberi kepada pembeli awal,” jelasnya.

Konsert yang akan berlangsung selama dua jam akan diserikan dengan kira-kira 20 buah lagu dendangan Alif dan Nana termasuklah lima lagu duet.

“Orang kenal kami menerusi drama Dia Semanis Honey dan konsert ini sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang banyak menyokong. Kalau setakat menyanyi bersama-sama, kami sudah biasa cuma konsert begini adalah yang pertama.

“Saya pun hafal lagu-lagu hits Nana seperti Gurauan Berkasih atau Paling Comel dan dia juga kena hafal lagu duet saya. Apapun kami akan cuba buat yang terbaik supaya konsert itu meninggalkan memori indah kepada mereka yang hadir,” kata Alif.

Sementara itu, kata Nana, dia belum berkeyakinan mengadakan konsert secara solo tapi apabila ditawar bersama-sama Alif sedikit sebanyak perasaan gementar itu hilang.

Jelasnya, kali terakhir dia mengadakan persembahan berskala besar adalah konsert Gegar Vaganza di Istana Budaya, dua tahun lalu.

“Apabila ditawarkan persembahan dengan Alif, saya rasa sedikit yakin.

“Lagipun kami ada lagu duet dan drama lakonan bersama-sama. Ini adalah hadiah untuk peminat yang tak pernah berhenti menyokong saya,” katanya jujur.

Duet demi drama

SELAIN berlakon bersama-sama, Nana dan Alif turut berduet mendendangkan lagu Sebenarnya, ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo yang dijadikan runut bunyi untuk drama Pengantin Musim Salju terbitan Filmscape Sdn. Bhd.

Biarpun masing-masing sudah biasa berduet tapi ini adalah julung kalinya mereka bergandingan bersama-sama. Malah kata Nana, Sebenarnya merupakan lagu pertama ciptaan Faizal yang dinyanyikannya.

“Pertama kali saya nyanyi lagu begini, sesuatu yang baharu. Apabila dengar lagu untuk pertama kali, saya tanya diri, bolehkah saya bawa lagu ini sebab Sebenarnya berbeza dengan genre saya.

“Apabila didengar dan Alif juga sudah masukkan vokal tak sangka bunyinya menjadi begitu indah. Biarpun susah sikit kerana lagu itu bukan genre saya tapi saya tetap cuba memberikan yang terbaik. Sebelum rakaman, saya pastikan tidur cukup.

“Tunggulah hasilnya nanti.Lagu itu akan diperkenal serentak dengan tayangan drama Pengantin Musim Salju,” katanya.

Lagipun katanya, penghasilan lagu itu kena pada waktunya kerana pada 31 Ogos nanti, dia akan bergandingan dengan Alif untuk menjayakan konsert Just Us Alif Satar & Siti Nordiana Live in Singapore yang akan diadakan di Auditorium Shine, Shaw Tower, Singapura.

Sementara itu, bagi Alif pula biarpun sebelum ini dia pernah berduet dengan penyanyi wanita lain, namun kali pertama dengan Nana. Biarpun mereka berbeza genre, tetapi Alif tidak gusar kerana tahu sentuhan Faizal boleh membuatkan lagu tersebut disukai ramai.

Jelas Alif, dia tidak kisah kerana lagu tersebut dihasilkan sebagai sebahagian daripada promosi untuk drama Pengantin Musim Salju.

“Selain drama, ada lagu. Jadi pakej lengkap untuk penonton drama itu nanti. Lagipun lagu itu nanti akan kami perdengar sewaktu konsert, sekurang-kurangnya adalah sebuah lagu untuk berduet.

“Sebenarnya duet ini adalah idea Nana. Faizal beritahu saya sejak tahun lepas lagi dia nak gandingkan saya dan Nana tapi keadaan tidak mengizinkan.

“Sekarang ini baru dapat direalisasikan dan ternyata kena pada waktunya,” jelasnya.