Bagaimanapun tanggapannya selama ini berhubung perkara yang satu itu adalah satu kesilapan besar pernah dilakukan. Biarpun sudah dua tahun tanpa komitmen cinta, pelakon Fathia Latiff mampu berdiri teguh tanpa ikatan itu.

Kini pelakon Ariana Rose ini mulai sedar yang dia tidak boleh terlalu bersandar kepada hubungan cinta dengan seorang lelaki untuk meneruskan kehidupan. Dia tidak boleh terlalu mengikut perasaan demi masa depannya.

“Sekarang ini fokus kepada diri sendiri. Saya nak cara kebahagiaan, kepuasan dan matlamat hidup sendiri dan berazam untuk memperbaiki segala kekurangan diri.

“Barangkali dulu, saya belum matang dan tak pandai membuat pilihan. Seiring dengan perubahan masa, akhirnya saya sedar yang telah banyak membuang masa (bercinta) selama ini,” kata Fathia berkongsi cerita.

Biarpun pernah merancang untuk menamatkan zaman bujang sebelum memasuki usia 30 tahun, dia reda dengan ketentuan-Nya. Sekurang-kurangnya dia mempunyai masa yang panjang untuk berfikir apa yang terbaik buat dirinya.

Pada masa yang sama, wanita ini juga mahukan masa untuk memperbaiki ruang kesilapan yang pernah dilakukan sebelum bergelar isteri selain mendalami lebih banyak ilmu berkeluarga sebagai persiapan diri.

“Benar saya tak sempurna, ada banyak rompong kekhilafan yang perlu diperbaiki sebelum berkahwin. Misi saya nak memperbaiki bahagian itu dahulu. Saya dah tak boleh terburu-buru mencari calon suami dalam hal ini.

“Saya tidak boleh mengharapkan calon suami untuk mengubah diri ini, sebaliknya perubahan itu datang daripada diri sendiri,” katanya lagi.

Fathia pernah menjalinkan hubungan cinta dengan aktor Aiman Hakim Ridza selama lima tahun sebelum membawa haluan hidup masing-masing pada 2015. Hubungan pasangan pelakon itu tidak mampu bertahan kerana masalah persefahaman.

TITIK KESEDARAN

SEBENAR ibu tercinta, Badriyah Hassan menjadi titik kesedaran utama yang menyebabkan dia nekad untuk bangkit daripada kelalaian selama dua tahun lalu. Melihat air mata wanita yang tumpah gara-gara dirinya, itu yang membuatkan Fathia diburu penyesalan.

Ungkapan keramat daripada ibu yang mahukan anaknya yang dahulu amat menusuk hatinya pada waktu itu. Di situlah wanita ini menemui kesedaran sejati sebelum bangkit daripada kesilapan dahulu.

Buang semua keegoan diri, kehidupan glamor yang menjadi punca kelalaian dan kemewahan dimiliki selama ini, Fathia memulakan semuanya dari awal. Walaupun agak perit, dia perlu melakukannya.

“Saya pernah berada di kemuncak populariti, dah rasa semuanya. Sebenarnya saya alpa yang ujian sewaktu berada di atas. Kita lupa melihat orang di bawah kita. Jadi apabila diuji, barulah terasa sakitnya.

“Sikit demi sikit, saya sedar yang apa yang saya miliki termasuk kemewahan dan populariti itu akan kekal selama-lamanya,” ujarnya.

Kini Fathia banyak menghabiskan masa bersama bapa, Abdul Latiff Mohd Tahir dan empat adik-beradiknya sebagai terapi agar sentiasa melakukan kegiatan bermoral.

MEDIA SOSIAL

MENYEDARI tawaran berlakon semakin menyusut, pelakon Menanti Februari ini mengambil peluang apa saja yang ditawarkan dalam platform media sosial. Sama ada dalam bidang bisnes atau apa saja, dia tidak menolak rezeki mendatang.

Menggunakan sepenuhnya kapasiti yang ada sebagai selebriti, Fathia juga bersedia untuk berkongsi pengalaman dirinya sebagai panduan bersama. Jika itu cara dapat mampu merawat kembali kepercayaan ramai terhadap kredibiliti dirinya yang musnah sebelum ini.

Terkini Fathia sedang sibuk mempromosikan tudung terbaru rekaannya, Manis by Fathia Latiff yang diusahakan sejak tahun lalu. Semua rekaan corak dan material adalah hasil inspirasi dirinya sendiri.

“Kalau masih tak ada tawaran berlakon, sekurang-kurangnya saya ada pendapatan lain. Takkanlah nak mengharap sepenuhnya kepada satu sumber bukan? Kenalah rajin mencari peluang pekerjaan yang lain.

“Medium laman sosial juga antara pendapatan saya untuk sebarang urusan perniagaan. Saya tak ada pilihan lain untuk survival hidup saya,” ujarnya lagi.

SAYA MASIH BERTUDUNGLAH!

Sebenarnya bertudung atau tidak?

Fathia : Bertudung. Ini bukan soal penampilan diri tetapi tanggungjawab saya sebagai hamba-Nya. Cerminan wanita Islam ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Kalaupun ada kekurangan tetapi saya memilih untuk tidak menjadi Fathia dahulu. Cukup-cukuplah buat silap!

Ramai yang mempertikai tahap keikhlasan Fathia dalam soal bertudung ini. Kejap pakai, kejap buka. Lepas itu, pakai tudung tapi masih tak sempurna. Apa komen?

Fathia : Sebenarnya tanggungjawab yang satu ini bukan mudah. Memang banyak berlaku kekhilafan selama ini. Tidak dinafikan, bekerja sebagai pelakon bertudung dalam industri hiburan memang banyak ujian. Apa pun, saya kini dalam proses untuk memperbaiki diri. Mungkin cara pemakaian itu tidak lengkap, keikhlasan itu masih ada.

Takut tak kalau ada yang meramalkan Fathia antara artis yang dijangka membuka tudung selepas ini? Maklumlah sekarang inikan dah jadi macam trend artis kebelakangan ini?

Fathia :Perkara itu tidak mungkin berlaku. Saya dah semakin matang dan tahu apa yang diinginkan. Saya juga enggan memberi komen jika ada rakan artis yang tiba-tiba free hair selepas bertudung. Itu adalah pilihan masing-masing.