Jika diukur daripada jumlah kutipan pastinya hanya boleh dibilang dengan jari sahaja filem Melayu yang berjaya mengumpul belasan juta ringgit. Manakala yang lain pula sekadar pulang modal atau lebih sedih, gagal.

Tsunami Hantu Kak Limah (HKL) baru-baru ini memberi gambaran jelas yang sinema tempatan masih bernyawa apabila filem itu berjaya mengumpul RM32.5 juta sekitar tiga minggu di pawagam.

Adakah benar budaya menonton dalam kalangan peminat sudah mula kembali? Adakah ini secara kebetulan atau memang petanda yang industri filem tanah air kembali bersinar?

Mendepani persoalan tersebut, pengkaji dan pembikin filem, U-Wei Haji Shaari turut terkesan dengan perkara itu. Katanya, apa yang ‘dinikmati’ oleh HKL perlu diketahui dengan jelas untuk menggambarkan apakah situasi sebenar sinema tanah air.

“Apabila HKL disambut besar-besaran oleh peminat pastinya ia memberikan gambaran yang positif kepada sinema tempatan. Tetapi adakah ini secara kebetulan atau petanda yang budaya menonton dalam kalangan masyarakat kita sudah mula wujud.

“Seperti mana yang kita ketahui budaya menonton filem tempatan dalam kalangan penduduk Malaysia tidak ada dan sama juga yang berlaku kepada Indonesia. Tetapi di negara lain mereka sangat berbangga dengan karya sendiri.

“Semuanya berhubung kait dengan beberapa elemen termasuklah kepercayaan dan isi cerita yang dipersembahkan. Jika budaya menonton sudah kembali ada, pastinya ia memberikan isyarat yang baik kepada industri secara keseluruhan,” kata pengarah filem Hanyut ini lagi.

Pun begitu U-Wei mengatakan soal kualiti adalah sesuatu yang abstrak dan tidak boleh diberikan penilaian. Apa yang penting jangan sesekali membuatkan penonton hilang percaya kepada produk yang dihasilkan. Penonton juga ada tanggungjawab tersendiri, sama seperti pembikin. Mereka perlu berbangga dengan apa yang ada sebelum mahu meraih kejayaan dan perasaan bangga daripada peminat serta ahli masyarakat.

“Untuk menghasilkan filem kena tahu asas terlebih dahulu. Sama juga dengan isu orang Melayu yang mahu bertutur dalam bahasa Melayu, mengapa terjadinya perkara ini? Sebab utamanya kerana mereka tidak berbangga dengan bangsa sendiri.

“Untuk berjaya kena ada maruah diri terlebih dahulu kemudian barulah boleh cerita tentang hala tuju. Sama juga dengan membikin filem, kena bangga dengan apa yang kita ada,” tegasnya.

Apa yang dicapai oleh HKL memberikan gambaran secara jelas yang satu pintu telah berjaya diselak (genre seram komedi). Namun masih banyak genre lain yang perlu diberikan perhatian untuk membuktikan industri filem sudah kembali pada landasan yang tepat.

Selain itu, U-Wei juga berharap agar pembikin filem tempatan menyedari yang mereka adalah pemikir yang mempunyai ilmu. Jika tidak berilmu, lebih baik menuntut terlebih dahulu agar terus dapat menghasilkan filem-filem berkualiti pada masa hadapan.

“Ilmu adalah elemen paling penting. Jika hanya ada kehendak dan idea semata-mata, sampai bila pun kita tak akan ke mana-mana tanpa ilmu,” pesannya lagi.