Berbondong-bondong mereka pulang bercuti untuk berkumpul di kampung halaman masing-masing bagi meraikan Syawal bersama-sama.

Senario ini tidak terkecuali buat dua finalis program realiti masakan, Hero Oven musim kedua, Muhammad Ikhwan Mustafar, 26, dan Muhammad Adam Mahamed Ismail, 28.

Cuma mungkin tahun ini situasinya agak berbeza bagi dua anak muda ini apabila populariti melonjak dan semakin dikenali ekoran penyertaan dalam program realiti televisyen tersebut.

Bakal menyambut raya di kampung halaman masing-masing, bagi Muhammad Ikhwan atau lebih mesra disapa Ikhwan, dia, isteri dan anak akan pulang beraya ke Banting, Selangor.

Setiap tahun tidak pernah menjadi masalah buat Ikhwan sekeluarga untuk beraya kerana kedudukan kampungnya dan isteri sebelah menyebelah.

Cukup bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga besar, tahun ini Ikhwan bersama enam lagi adik beradiknya akan berkumpul dan bergotong-royong menyiapkan juadah pagi Syawal.

Tidak dinafikan, dalam kalangan adik-beradiknya, dia yang lebih berpengalaman dalam dunia masakan sementelah menjadi cef di hotel terkemuka dan menjuarai Hero Oven.

Namun dia berkata, tugas memasak tidak diletakkan pada bahunya seorang, sebaliknya dikongsi bersama adik-beradik lain agar kerjanya lebih ringan dan meriah.

“Lagipun, kepakaran saya lebih kepada masakan Barat. Bukan tidak tahu memasak masakan Melayu, cuma kurang berminat.

“Apapun, apabila berkumpul dengan adik-beradik kami akan sama-sama singsing lengan di dapur. Masing-masing sudah ada tugas sendiri, ada yang buat rendang, ketupat, kuah kacang dan sebagainya,” katanya.

Akan menghabiskan cuti selama lima hari di kampung, tahun ini Ikhwan menyediakan tiga pasang baju raya buat dirinya, isteri dan anak.

Begitu juga bagi Muhammad Adam, yang akan menyambut pagi Syawal bersama ahli keluarga dan adik beradiknya di United Kingdom (UK).

Tidak pernah meraikan Syawal berseorangan, mereka sekeluarga kecuali kakak yang kini menetap di Kelantan, pasti tidak akan melepaskan peluang berkumpul setahun sekali itu.

Sekiranya orang lain sibuk menyiapkan juadah pada malam raya untuk dinikmati tetamu, berbeza dengan keluarga Muhammad Adam atau lebih selesa dengan panggilan Adam.

Ini kerana katanya, mereka sekeluarga tidak pernah menyediakan juadah istimewa di pagi raya, malah biskut raya juga tidak pernah dibuat atau dibeli melainkan kuih tat yang menjadi kuih wajib perlu ada.

Malah, sejak awal Ramadan dia turut mengambil tempahan daripada rakan-rakan terdekat yang ingin merasai tat nanas hasil ‘air tangannya’.

Adam memberitahu tat tersebut dibuat menggunakan resipi asli ibunya dengan inti nanas dibuat sendiri.

“Tahun ini kami adik beradik dan mak ayah akan menyambut hari raya di UK, tetapi tidak tahu sama ada di Birmingham rumah kakak atau di Manchester.

“Sudah tujuh tahun kami menyambut hari raya di sana kerana kedua-dua orang tua saya termasuk tiga adik beradik yang lain telah menetap di UK.

“Walaupun kami merayakan Aidilfitri di luar negara, suasananya tetap sama seperti menyambutnya di kampung kerana kami dapat berkumpul beramai-ramai,” ujarnya.

Yang pasti, menyambut 1 Syawal bersama ahli keluarga masih lagi menjadi amalan warga kota hari ini.

Berpendapat tidak meriah sekiranya menyambut tanpa keluarga tersayang di sisi, amalan ini seharusnya diteruskan kerana ia bukan sahaja mengeratkan lagi tali silaturahim tetapi ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga.