Meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, ada berpandangan telefilem tersebut membawa pengaruh besar dan masih mempunyai peminat sehingga ke hari ini.

Berhasrat mengulangi kegemilangan, pelakon yang pernah menjadi peneraju telefilem itu, Datuk Norul Iman Abd. Rahman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman, 36, kini dalam usaha mengembalikan Blok 404 ke layar perak.

Beliau yang merupakan penerbit turut bersama-sama membintangi filem tersebut bersama empat pelakon asal termasuk Zamarul Hisham, Raja Asri dan Nabila Huda. Boy yang ditemui baru-baru ini bercerita lanjut tentang filem Blok 404 yang kini masih dalam proses pembikinan.

Katanya, filem yang menelan kos kira-kira RM700,000 itu dijangka menemui peminat pada Disember ini.

“Saya terpanggil untuk menghasilkan semula filem ini kerana percaya Blok 404 masih mempunyai pengikut serta peminat yang ramai.

“Judul Blok 404 itu sendiri sudah menjadi satu kekuatan untuk menarik peminat tempatan menonton filem ini nanti,” katanya kepada S2.

Bercerita lanjut, Boy memberitahu, filem tersebut akan menampilkan kelainan serta kemunculan beberapa nama besar dalam industri seni tempatan.

“Genre yang diketengahkan masih sama, cuma jalan cerita berbeza. Filem Blok 404 mengisahkan pembunuhan dirancang di sebuah rumah penginapan oleh pesakit mental yang ingin mengaut keuntungan dengan memuat naik rakaman ke internet.

“Filem ini turut dibintangi pelakon handalan seperti Fasha Sandha, Kamal Adli, Nadia Brian, Amar Asyraf dan ramai lagi. Kehadiran mereka juga satu kekuatan yang bakal menentukan kejayaan filem ini nanti,” jelasnya.

Antara keistimewaan lain adalah garapan sutradara berbakat besar, Isma Aizal Yusof yang memberi sentuhan menerusi kemahiran pengarahannya. Ditanya mengapa Isma menjadi pilihan, Boy memberi sebab tersendiri.

“Beliau (Isma) seorang pengarah bijak dan berbakat besar yang saya yakin mampu mencorak kejayaan untuk filem Blok 404. Semua penggiat seni tahu hasil kerja beliau iaitu berkualiti dan tidak pernah menghampakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Boy Iman turut memberi penjelasan mengenai status penganugerahan gelaran ‘Datuk’ yang diperolehnya baru-baru ini.

“Memang tidak dinafikan selepas kontroversi ijazah doktor falsafah (PhD) yang saya terima tempoh hari, ramai orang bertanya tentang gelaran Datuk yang saya peroleh baru-baru ini.

“Anugerah tersebut sememangnya tulen dan diambil sendiri di istana. Cuma, saya ambil gambar dekat pagar istana sebab itu adalah gambar yang dipetik sendiri.

“Gambar dalam istana diambil oleh jurugambar rasmi dan semua tetamu tidak dibenarkan membawa kamera masuk,” jelasnya.

Beliau juga melahirkan permohonan maaf kepada orang ramai yang keliru dengan anugerah akademik yang diterimanya tempoh hari.

“Saya minta maaf kepada semua orang, sejujurnya saya tidak tahu ijazah PhD kehormat adalah anugerah akademik yang tidak boleh menggunakan gelaran ‘doktor’.

“Saya akui kesilapan ini. Ia adalah anugerah yang diberikan oleh institusi berkenaan, bukannya saya yang mendaftar pengajian di peringkat tersebut.

“Harap permohonan maaf saya diterima secara terbuka oleh semua orang dan kita adalah selemah-lemah hamba-Nya,” luahnya.