Ada badai yang melanda keakraban mereka yang kini hadir dengan naskhah Langsuir, filem yang menyaksikan masing-masing digandingkan di layar perak buat julung kalinya.

Pun begitu mereka menegaskan desas-desus yang bertebaran itu tidak benar sama sekali, malah hubungan mereka masih berada dalam keadaan baik dan menyenangkan.

“Dakwaan mengatakan kami bermasam muka tidak benar. Hubungan kami masih baik, berkawan seperti biasa dan tiada sebarang perselisihan faham yang berlaku.”

Demikian tegas Syafiq mengenai hubungannya dengan Hannah malah mengakui, rakan lakonnya itu merupakan antara aktres yang amat disenangi untuk bekerjasama.

“Hannah menjadi antara pelakon wanita pilihan saya untuk digandingkan kerana keserasian yang mudah diwujudkan antara kami. Selain itu, dia juga sangat profesional.

“Bagaimanapun sebagai pelakon kita akan memerlukan angin baharu dan pasangan gandingan yang berbeza untuk mencari kelainan dalam lakonan,” kata Syafiq.

Malah aktor popular itu mengakui, kesibukan jadual mereka menyebabkan mereka agak sukar mencari tarikh untuk mempromosikan filem Langsuir sebelum ini, bukan kerana mereka tidak mahu bekerja bersama.

“Saya ada juga terdengar-dengar tentang hal ini. Mungkin sebab sukar untuk mendapatkan tarikh untuk promosi. Yang sebenarnya jadual kami agak padat dengan penggambaran,” jelasnya.

Antara drama dan filem

Pernah dicabar seseorang yang mengatakan dia tidak layak bergelar pelakon, siapa sangka hari ini Syafiq Kyle antara aktor yang mendahului senarai sebagai pelakon drama popular.

Bersyukur kerana kerjaya seni lakonnya semakin mendapat perhatian peminat dan penerbit serta pengarah drama, namun itu tidak bermakna dia tidak mahu menerima tawaran di layar lebar.

“Memang saya masih tidak tahu bagaimana reaksi khalayak terhadap pembabitan sulung saya dalam filem tetapi saya sentiasa positif memberikan yang terbaik kepada peminat.

“Saya mahu buktikan kemampuan saya tidak kira di layar kaca mahupun layar perak,” tegasnya.

Bagi mereka yang merindui wajah si kacak ini di kaca televisyen, nampaknya anda perlu menunggu sehingga awal tahun hadapan untuk menonton drama lakonannya kerana kata Syafiq, ketika ini dia sibuk menyiapkan tiga drama sekali gus yang dijadualkan ditayangkan tahun hadapan.

Bercakap mengenai watak sebagai Azlan dalam filem Langsuir, Syafiq mengakui, filem seram arahan Osman Ali ini cukup mencabar kreadibilitinya.

“Membangkitkan kisah cinta dengan langsuir itu sahaja sudah cukup mencabar sebenarnya,” katanya.

“Selain itu lokasi juga memberi cabaran tersendiri kerana kami berada di lokasi penggambaran ini selama sebulan. Memandangkan setiap lokasi yang dipilih itu hanya boleh sampai melalui jalan laut jadi memang agak terbatas bukan sahaja pergerakan kami tetapi juga soal makanan dan sebagainya,” jelasnya.

Hannah berhati-hati

Bercerita tentang filem Langsuir, Hannah Delisha menolak dakwaan dieksploitasi apabila muncul dengan babak berkemban kerana katanya, babak itu signifikan kepada karya tersebut.

Tidak mahu menjejaskan keseluruhan filem seram romantik ini yang menemui penonton bermula hari ini (20 September), Hannah menekankan kepentingan babak itu.

“Sebenarnya saya sudah berbincang dengan pengarah untuk babak berkemban semasa mandi dan ketika hampir menjadi mangsa rogol agar tidak nampak keterlaluan. Jadi kita buat keputusan untuk menutup sedikit bahagian badan yang terdedah.

“Memandangkan itu adalah babak sedang mandi, jadi memang kena berkemban kerana logiknya, tak ada orang mandi pakai baju. Wanita zaman dahulu pun mandi berkemban dengan kain,” katanya.

Kali pertama menonton filem lakonan sendiri, Hannah akui, cukup teruja dan bangga dengan kemampuan dirinya.

“Perasaan bercampur baur, teruja, gementar dan sebagainya. Bagi saya ini mungkin normal untuk mereka yang pertama kali dapat peluang berlakon dalam filem.

“Cabaran untuk menjayakan watak Suri dalam filem ini lebih kepada untuk mengekalkan momentum tenaga dan fokus kerana penat sebenarnya berlakon sepanjang penggambaran tersebut,” katanya.

Jika ada yang membayangkan watak Suri yang dibawa oleh Hannah adalah hantu yang menyeramkan namun bukan itu yang akan disajikan. Mempunyai sebab mengapa dia muncul sebagai makhluk yang cantik, ini jawapan yang diberikan Hannah.

“Dalam filem ini saya perlu memukau Azlan dan tentunya kalau saya berubah menjadi buruk, dia tidak akan jatuh cinta. Namun elemen seram itu tetap wujud.

“Sejujurnya saya tidak kisah jika suatu hari nanti ada watak yang memerlukan saya memburukkan wajah, memang saya juga peminat filem seram,” tambahnya.

Selain Syafiq dan Hannah, Langsuir turut dibintangi Firdaus Nadxaman, Julia Farhana, Daaim Jailani, Shahkimin, Nazri John dan Halim Radzi.

Mengangkat mitos seram Melayu mengenai hantu langsuir, filem ini menceritakan kisah cinta antara dua dunia Suri dan Azlan. Pertemuan pertama kali Suri dan Azlan di Pulau Langsuir menimbul rasa sayang antara dua makhluk ini. Bagaimanapun kisah cinta mereka dihalang oleh rakan-rakan Azlan yang tidak berpuas hati sehingga mendatangkan kejadian yang tidak diingini atas Suri yang juga langsuir. Kejadian ini telah menyebabkan kakak Suri, Dewi marah dan dia muncul untuk menimbulkan kekecohan dalam kumpulan itu.