Selama 23 tahun membina kerjaya dalam dunia seni, Siti Nurhaliza membina empayar tersendiri. Beliau kekal berada di puncak teratas, tidak diganggu gugat oleh barisan artis yang lain.

Beliau disayangi dari segala segi. Atas sifat rendah diri dan menghormati orang lain selain bakat yang luar biasa, beliau berada dalam liga yang cukup hebat dan mempunyai pengaruh yang besar dalam industri seni.

Tidak hanya barisan peminat yang setia, kanvas seni Siti Nurhaliza sentiasa diwarnai dan didukung oleh kesemua stesen radio yang bekerjasama dengannya sejak hari pertama bergelar artis lagi.

Buktinya, stesen radio swasta Hot FM menyediakan satu segmen khas untuk si jantung hati negara ini sempena menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 hari ini.

Konsert digital Bombastik CTDK akan berlangsung pada pukul 9 malam ini dibuat khusus untuk Siti Nurhaliza dengan penglibatan barisan insan seni lain.

Bersiaran selama 90 minit menerusi FB Live Hot FM, penganjuran program khas itu sebagai tanda penghargaan terhadap kerjaya seni penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini.

Barisan artis antaranya Kugiran Masdo, Neon, Andi Bernadee, Florr 88, Eza Edmond dan Sarah Suhairi dipilih untuk menyanyikan semula seleksi lagu-lagu Siti Nurhaliza yang dipetik dari album pertama sehingga yang terbaharu.

Konsert itu akan dihangatkan lagi dengan penyampai radio Hot FM sendiri iaitu Fizie, Deen dan Ammar yang akan mengendalikan segmen tersebut.

Lagu apakah yang bakal dipersembahkan oleh barisan artis jemputan di konsert digital Bombastik CTDK pada malam ini? Sama-sama kita nantikan dan berhibur dengan lagu yang pernah menaikkan nama penyanyi ini.

Kepada pendengar setia Hot FM dan peminat tegar Siti Nurhaliza, jangan lupa temu janji dan menonton konsert digital malam ini.

Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang rasmi www.hotfm.my serta laman sosial Hot FM di YouTube: Hot TV/ Instagram / Twitter @hotfm976 / Facebook: Hot FM.