Tidak mahu terus diselubungi kesedihan yang berpanjangan, pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin ini bersyukur kerana dengan sokongan keluarga dan anak-anak, semangatnya kini semakin pulih.

Meneruskan kehidupan seperti biasa, ibu kepada empat cahaya mata ini lebih suka menyibukkan diri dengan pelbagai urusan termasuk menguruskan perniagaan yang ditinggalkan suaminya.

Malah akui wanita berusia 46 tahun ini, dia semakin memahami dan merasakan satu persatu hikmah selepas diuji Tuhan dengan dugaan berat tersebut.

Perniagaan

“Alhamdulillah, saya banyak habiskan masa dan sibukkan diri dengan menguruskan keluarga dan perniagaan arwah.

“Saya tidak pernah fikir yang saya boleh kuat sebegini apabila Johan tiada. Selama ini ke mana saja dan apa saja yang dilakukan saya selalu dengan dia.

“Sebelum ini saya tidak pernah pergi membayar bil, insurans dan sebagainya. Saya tidak pernah pergi ke bengkel kereta, tetapi sekarang semua itu saya perlu lakukan sendiri.

“Jadi saya sudah nampak satu persatu hikmah yang Allah berikan kepada saya. Dulu, saya tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk dengan kerja dan selalu hanya saya dengan arwah sahaja. Tetapi sekarang hubungan saya dengan anak-anak sangat erat,” katanya kepada Hits.

Nora berkongsi perkembangan dirinya ketika ditemui dalam sidang akhbar Spectacular ‘Secretaries Week Luncheon 2019’, di Hotel Palace of Golden Horses, baru-baru ini.

Terpancar keceriaan pada wajah Nora yang memberitahu dia semakin aktif dalam laman sosial Instagram.

Selain mengemas kini perkembangan terbaharu, Nora menjadikan platform tersebut sebagai tempat menzahirkan perasaan sunyi dan rindunya di kala teringatkan Johan.

Meskipun menyedari tindakannya itu kurang disenangi segelintir pihak, namun Nora tidak mahu ambil pusing. Adakalanya dia berasa selesa berkongsi perasaannya lebih-lebih lagi dengan para pengikut akaun miliknya yang juga pernah melalui pengalaman kehilangan orang tersayang.

“Kadang-kadang saya luahkan di dalam Instagram. Saya tidak kisahlah apa yang orang mahu cakap, kalau mereka tidak suka mereka boleh tidak mengikuti saya lagi.

“Bagi saya, niat hanya mahu berkongsi pengalaman. Malah ramai antara mereka yang pernah melalui pengalaman seperti saya bertanya dan meminta nasihat.

“Terasa seperti pakar motivasi pula apabila saya menasihati dan menenangkan mereka kerana saya faham perasaan itu. Hanya mereka yang melaluinya akan 
benar-benar merasai dan memahami.

“Tetapi memang kita memerlukan masa untuk menerima semua ujian ini. Seperkara yang saya belajar, semua yang terjadi ini sudah diatur dengan begitu cantik sekali oleh-Nya.

“Jadi sebagai hamba, kita boleh bersedih tetapi tidak boleh persoalkan segala yang telah terjadi,” tuturnya sambil tersenyum.

Serah jodoh kepada Tuhan

Tatkala pihak media mengusiknya dengan pertanyaan tidakkah dia mahu mencari pengganti bagi mengisi kesunyian dan sebagai teman melalui hari-hari yang dijalani, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Hanyalah Satu ini spontan tertawa.

Katanya, belum terlintas di fikiran untuk mencari pengganti buat masa ini. Namun, tidak bermaksud dia menutup pintu hati untuk mana-mana lelaki, sebaliknya dia hanya menyerahkan segala-gala kepada ketentuan Tuhan.

“Saya belum bersedia dan tidak terfikir lagi ke arah itu. Apa yang boleh saya katakan, saya berkawan dengan ramai orang.

“Dulu ketika baru-baru kehilangan arwah, selalu saya berkata yang saya tidak mahu dan tidak akan mencari pengganti.

“Tetapi ustazah saya menasihati supaya tidak berkata begitu kerana kita tidak tahu apa yang Allah sudah aturkan untuk kita.

“Katanya lagi, kadang-kadang Allah ambil sesuatu daripada kita sebab dia mahu gantikan dengan bukan yang lebih baik tetapi yang terbaik untuk kita.

“Jadi saya berserah dan berdoa yang baik-baik sahaja,” tuturnya sambil mengukir senyuman.

Sementara itu, ditanya mengenai perasaannya yang sudah bergelar ibu mentua baru-baru ini, Nora berkata, sejujurnya dia berasa sebak kerana ketiadaan arwah, namun dia bersyukur kerana majlis hari bahagia anak sulungnya itu berjalan lancar

“Walaupun saya sebak kerana ketiadaan arwah, tetapi saya seronok dan bersyukur kerana majlis berjalan lancar,” ujarnya.

Pada 19 Januari lalu, anak lelaki Nora, Mohd. Syakir Iman selamat melangsungkan perkahwinan dengan Eilya Sofea Azman.