Menurut Syed Zulkifli atau Syed Zul Tojo, filem itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana tidak menampilkan isu yang sering diketengahkan oleh penerbit filem tempatan lain.

“Isu yang diketengahkan adalah tentang dilema yang dihadapi seorang penari balet yang kemudiannya mengambil keputusan untuk berhijab.

“Isu ini berat kerana berkaitan dengan agama sebab kita semua sedia maklum bagaimana penampilan seorang penari balet.

“Bolehkah seorang penari balet menari dengan memakai hijab kerana belum ada yang cuba menongkah arus sebelum ini,” katanya tentang watak Adel, lakonan Puteh Maimun Zahrah.

Tambah Syed Zul, kekuatan filem itu bukan setakat menampilkan isu yang jarang diketengahkan dalam filem tempatan malah juga begitu berani menanggung risiko menggunakan banyak wajah baharu sebagai pelakon utama.

“Sebelum menghasilkan filem ini saya dan rakan-rakan di Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) membuat kajian terlebih dahulu tentang minat penonton tempatan.

“Selain itu, kami juga mahu buat filem yang ditonton oleh semua bangsa dan bukan satu kelompok sahaja.

“Agak lama kami mengambil masa membuat tinjauan terutama pelajar institut pengajian tinggi (IPT). Malah selepas filem ini siap, kami pratonton kepada pelbagai golongan dan reaksi yang kami peroleh amat menggalakkan.

“Ternyata mereka tidak kisah dengan penampilan muka baharu kerana rata-rata lebih tertarik dengan isu yang diketengahkan,” katanya.

Syed Zul berkata, filem ini mengisahkan tentang perjuangan Adele yang mahu meneruskan impiannya biarpun mendapat bantahan kerana yang dilakukannya itu jarang berlaku dalam masyarakat tempatan.

“Dalam erti kata lain, jika kita ada impian, berjuanglah dengan bersungguh-sungguh. Jangan pedulikan pandangan orang kerana untuk menjadi trendsetter bukan mudah.

“Dalam perkara ini Adele percaya bahawa dia boleh mencapai kejayaan walaupun ditentang orang sekeliling,” jelas Syed Zul lagi.

Selesa dengan watak masing-masing

Sementara itu, Danny Syaz yang berlakon sebagai Deni, seorang penari balet yang bercita-cita untuk menjadi penari terkenal dunia sebenarnya amat mahir dalam tarian tradisional.

“Saya bukan penari balet tapi asas menari memang ada sebab kepakaran saya adalah tarian tradisional, street dance dan Latin. Ini merupakan filem pertama yang menampilkan saya berdialog.

“Sebenarnya waktu uji bakat, saya diberi watak lain tapi kemudian ditukar kepada watak Deni yang rapat dengan Adele. Kalau bab menari, saya tidak ada masalah. Cuma apabila disuruh menangis, ada sedikit kesukaran. Selain itu, watak saya juga perlu berlawan dan ketika babak itu saya takut jika tersilap langkah.

“Alhamdulillah, sepanjang menjayakan babak berlawan itu tidak ada kecederaan yang berlaku,” katanya yang juga seorang guru tari.

Jazmyn Chong, 19, berkata, dia tidak menghadapi masalah kerana berlakon adalah minatnya.

Jazmyn yang suka filem genre romantik komedi berkata, sebagai orang baharu dalam bidang lakonan, dia beruntung kerana mendapat tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain.

“Untuk menari, tidak ada masalah kerana saya memang belajar menari. Cuma dari segi lakonan sahaja yang perlu dititikberatkan. Bagaimanapun saya bernasib baik kerana pelakon yang terlibat banyak membantu.

“Biarpun kami pertama kali bertemu tapi disebabkan masing-masing mempunyai minat yang sama (menari) jadi tidak ada masalah untuk kami bergaul di lokasi bagi menjiwai watak yang dibawa,” katanya yang kini menyambung pengajian di New Castle, Australia.

Pemegang watak Haziq, Syed Haziq Afiq Syed Hussein, 23, berkata, filem ini memberi ruang kepada penari untuk menunjukkan bakat mereka sebagai pelakon.

“Rata-rata pelakon filem ini mahir dalam bidang tarian tapi dari segi lakonan masih belajar. Apa pun kami beruntung kerana mendapat pengarah yang bagus dan sentiasa memberi tunjuk ajar,” katanya yang merupakan seorang koreografer.

Aliff Azeman yang melakonkan watak Zubir berkata, wataknya agak mencabar kerana dia menentang sesiapa yang memakai hijab melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Bagi Zubir, dia mahu mereka memakai hijab mesti disertakan dengan niat dan tujuan yang betul. Jika mereka mempersendakan hijab, dia tidak akan berkompromi.

“Untuk melakonkan watak itu saya perlu buat kajian kerana Zubir seorang yang sukar dijangka pemikirannya. Dia jenis yang suka menentang dan tidak sependapat dengan Adele.

“Biarpun watak itu mencabar tapi saya telah cuba berikan yang terbaik dan pengalaman berlakon teater dan telefilem sebelum ini banyak membantu,” katanya yang merupakan seorang guru tari.

Bagi Natassha Zoe, 20, sebagai seorang penari dia tidak menghadapi masalah untuk menjayakan wataknya.

Merupakan filem pertama lakonannya dan dia berpuas hati dengan bakat yang telah ditonjolkan.

“Sebagai orang baharu, kami berpeluang berkongsi pengalaman dalam bidang tarian kerana masing-masing ada kepakaran,” ujarnya yang mengakui melakonkan sesuatu yang disukai bukan sesuatu yang menyukarkan.

Afeerah Rahman, 26, yang melakonkan watak Batrisya berkata: “Filem ini bukan setakat menonjolkan perjuangan seorang penari balet tetapi juga memberi motivasi kepada orang ramai agar berusaha untuk mencapai impian sendiri.”