Usai berlangsungnya peringkat akhir BRTM 2018 pada minggu lalu, Heidi yang merupakan penuntut bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mahu menarik minat pendengar terhadap genre berkenaan biarpun memerlukan pengorbanan.

“Ya, saya sedar peminat muzik jazz adalah kelompok minoriti di Malaysia yang lebih menggemari genre popular lain terutama pop atau balada.

“Akan tetapi saya tidak menjadikan itu satu halangan untuk terus berkarya, tambahan pula saya adalah penuntut dalam jurusan seni gubahan lagu.

“Jadi, saya ada sedikit kelebihan dari sudut kemahiran untuk menggubah lagu mengikut cita rasa peminat tempatan tetapi masih berteraskan jalur muzik jazz,” jawabnya penuh yakin.

Tampil dengan single Kata Hati yang digubah oleh AG Coco, anak kelahiran Keningau, Sabah itu berbangga dapat bekerjasama dengan komposer tersebut untuk menghasilkan lirik lagu berkenaan.

“Walaupun berentak balada, tetapi saya menyuntik sedikit elemen jazz terhadap vokal saya yang merupakan salah satu instrumen penting dalam penghasilan sesebuah lagu.

“Saya akan kekal dengan cara tersendiri meski menyanyikan lagu genre lain sekalipun,” ujarnya.

Mengakui gementar dengan penerimaan pendengar, Heidi bagaimanapun mahu mempertahankan perjuangannya kerana berpendapat, masih banyak sisi lain yang ada dalam genre jazz belum diteroka oleh orang Malaysia. - UTUSAN ONLINE