KUALA LUMPUR 24 JULAI 2018 : Fotografi pengacara TV3 , Hasnida
 

Walaupun bergelar personaliti televisyen, Hasnida Hanim Mohd. Kamil tidak kekok bergaya dengan fesyen sukan yang lazimnya kelihatan lasak dan kasar.

Ini kerana, bidang sukan menjadi jiwanya dan sudah sebati sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya aktif bersukan sejak zaman sekolah. Apabila melanjutkan pengajian ke universiti, saya berpeluang mendalami ilmu dalam bidang sains sukan.

“Aktiviti sukan tidak pernah terhenti sejak remaja. Jadi, saya tidak kisah melakukan sesuatu yang lasak,” katanya kepada S2.

Menurut ibu kepada dua anak lelaki itu, sejak bertugas sebagai penyampai berita dan wartawan sukan di stesen televisyen TV3 bermula 15 tahun lalu, obsesinya terhadap aktiviti sukan dan lasak tidak pernah menyusut.

Malah, dia semakin aktif dengan menyertai pelbagai aktiviti sehingga ke peringkat kebangsaan termasuk menjadi peserta Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil pada 2017.

Katanya, ekspedisi itu merupakan pencapaian yang paling dibanggakan sehingga kini.

“Daripada 70 orang yang dipanggil untuk sesi uji bakat, hanya tujuh peserta terpilih termasuk saya. Memang saya tidak ada pengalaman berkayak, tetapi itu tidak menjadi masalah,” katanya mengimbau pengalaman tersebut.

Menurutnya, ketika itu, program yang dianjurkan Majlis Rekreasi Malaysia (MRM) berjaya mencatatkan sejarah di dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pertama dari Malaysia melakukan ekspedisi berkayak di Sungai Nil, Mesir.

Dalam cabaran itu, peserta berkayak dari Aswan ke Luxor, menempuh jarak 250 kilometer dalam tempoh lima hari.

Katanya, untuk menyertai aktiviti lasak ini, dia tidak menghadapi banyak masalah kerana sebelum ini, sudah biasa menyertai maraton dan mendaki gunung.

Walaupun sudah mencecah usia 38 tahun dan mempunyai komitmen terhadap dua orang putera, ia bukan penghalang baginya untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan lasak.

Setiap hari, katanya, dia akan memastikan dirinya ‘bermandi peluh’ di gimnasium bagi meningkatkan kecergasan diri dan mempunyai stamina.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu, Hanim berkata, selain sibuk dengan kerjaya di stesen televisyen, dia juga baru dilantik sebagai duta untuk beberapa acara besar tajaan Petronas.

“Saya dilantik sebagai Faces of Petronas untuk tiga acara kejohanan pada musim ini iaitu Cup Prix, Moto GP dan Formula One yang berlangsung di beberapa tempat dan negara,” katanya.

Tambahnya, tugas sebagai duta jenama memerlukannya menjelajah sehingga ke luar negara bagi mempromosi aktiviti yang disertai Petronas.

Sudah tentu tugas itu menuntut pengorbanan besar kerana perlu meninggalkan suami dan anak-anak, namun katanya, dia beruntung kerana suaminya tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.

“Mujur tempoh saya ke luar negara tidak lama, cuma beberapa hari,” katanya.

Selain Petronas, Hanim juga dilantik menjadi duta untuk beberapa lagi jenama termasuk pengedar barangan sukan terbesar Malaysia, United Fitness & Leisure (UFL) yang sering menaja pakaian dan peralatan ketika Hanim menyertai aktiviti lasak dan sukan.

Ditanya mengenai tugas, Hanim berkata, dia kekal setia bersama TV3 walaupun sebelum ini pernah dipelawa ke tempat lain dengan tawaran gaji lebih lumayan.

“Ini adalah tempat saya ‘lahir’ dan ini yang terbaik buat saya setakat hari ini.

“Walaupun ada tawaran lumayan, namun saya tetap bersama TV3. Bagi saya, stesen televisyen ini adalah tempat paling baik untuk saya dan saya tidak akan berganjak,” katanya.