Ada yang mendakwa ini disebabkan putus cinta dan dek kerana gambar-gambar kontroversinya tersebar. Ada juga yang mengganggap semua ini disebabkan Emma tertekan.

Bukan itu sahaja, Emma kononnya dikatakan sekadar melakukan gimik untuk meraih populariti dan mempromosi drama.

“Orang lain atau warganet boleh cakap apa sahaja. Sejujurnya ia (buka tudung) bukan gimik atau mahu meraih perhatian. Apa sebabnya biarlah saya sendiri yang simpan. Biarlah, ia antara saya dengan Allah.

“Saya sudah melalui pelbagai dugaan sepanjang menjadi anak seni. Saya tidak suka berkongsi hal-hal yang negatif atau sedih dalam laman sosial. Begitu juga dengan punca saya buka tudung, biarlah saya sahaja yang tahu.

“Apa yang saya boleh cakap, saya mahu jadi diri sendiri. Itu sahaja. Dalam masa sama saya tidak mahu sembunyikan kesalahan yang saya buat dengan melarikan diri.

“Disebabkan itulah saya tidak tutup ruangan komen dalam laman sosial kerana saya akur dengan kesalahan saya dan kesalahan ini bukanlah gimik. Ia memang salah saya,” luah Emma yang lebih terbuka memberi ruang kepada warganet untuk memberi komen.

Namun, dalam ribuan kecaman yang dihadapi Emma, ada segelintir peminatnya yang mempunyai jiwa lebih positif dan berdiri kukuh di belakangnya.

“Dalam berpuluh-puluh ribu komen, setahu saya hanya ada empat komen yang positif. Sebaliknya yang lain semua memaki hamun sehingga ada yang mendoakan saya mati.

“Selain disebabkan saya akur dengan kesilapan diri, saya juga membuka komen supaya masyarakat melihat inilah budaya kita yang suka menghentam orang tanpa adab. Orang Islam dan Melayu suka memghentam bangsa sendiri.

“Ya, saya tegaskan di sini janganlah ikut tindakan saya yang tidak baik ini. Saya akui dan tahu ia contoh yang tidak baik.

“Dalam masa sama, lihat juga komen-komen masyarakat kita agar dijadikan pengajaran buat semua. Ini yang mencerminkan masyarakat kita. Sama-sama kita belajar iaitu tidak ada orang yang sempurna dalam dunia ini.

“Apa yang salah kita perbaiki. Apa yang baik kita contohi,” kata Emma berterus-terang.

Zaman muda tiada yang sempurna

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 27, mengakui yang dia juga seperti orang muda lain pastinya menjalani proses untuk menjadi lebih baik.

“Zaman muda saya ini ada turun dan naik. Tidak semua saya kongsikan dalam laman sosial. Biasanya saya kongsi yang positif sahaja. Yang sedih-sedih saya tanggung sendiri. Hanya yang rapat tahu.

“Bila kecoh gambar saya buka tudung tersebar, saya memang sedih tapi saya tidak sesekali berkongsi kesedihan itu dalam laman sosial. Saya lebih berfikir positif untuk terus bertudung dan cuba istiqamah walaupun agak sukar.

“Saya masih muda, kadang-kadang saya berperang dengan diri sendiri dan tidak terkecuali terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak baik,” kata Emma.

Malah kata Emma, dia juga menerima kecaman sewaktu mula mengenakan tudung sehingga didakwa berbuat demikian kerana mahu menjalankan perniagaan tudung.

“Padahal saya berniat baik mahu berjinak-jinak ke arah yang positif. Dalam masa sama mahu menggalakkan wanita di luar sana juga memakai tudung.

“Niat yang baik sering disalahertikan dari dulu. Apatah lagi saya sudah buka tudung, jadi bertambah-tambahlah kejian orang.

“Oleh itu saya ambil keputusan untuk jadi diri sendiri. Apa orang nak cakap, cakaplah.

“Doakanlah yang terbaik buat saya. Itu kan lebih bagus daripada menghentam dan mendoakan yang buruk-buruk,” katanya.

Bukan salah bekas kekasih

Apa pun keputusan yang dibuat oleh Emma, dia tidak pernah menyalahkan orang lain terutama lelaki-lelaki yang pernah dikaitkan dengannya satu ketika dahuu.

“Warganet akan bercakap macam-macam. Apa yang berlaku adalah salah saya sendiri. Saya tak mahu salahkan sesiapa sebab semua itu salah saya.

“Kalau saya berlari dan jatuh, saya tak boleh salahkan orang lain yang letak batu di tengah jalan. Saya sendiri yang perlu berhati-hati.

“Begitu juga apabila ada yang salahkan keluarga saya. Untuk makluman semua, ayah dan emak saya sendiri kecewa dengan tindakan saya buka tudung. Mereka sedih kenapa saya tidak berkongsi masalah.

“Selama ini saya hanya tunjukkan sisi gembira dan positif kerana tidak mahu buat mereka bimbang. Biarlah saya tanggung sendiri.

“Apa yang berlaku saya tidak salahkan bekas kekasih atau mak dan ayah. Semua salah saya. Kepada warganet, hentikanlah menuduh orang lain sebagai punca saya buka tudung,” katanya.

Sudah berkahwin?

“Sama ada saya dan Syed Abdullah sudah berkahwin atau tidak, rasanya biarlah saya tidak berkongsi akan hal ini. Saya lebih selesa untuk tidak bercakap soal ini.

“Apa yang boleh dikongsi pasti saya akan beritahu. Apa yang tidak boleh, biarlah saya tidak komen apa-apa. Cukuplah apa yang sudah saya lalui.

“Jadi lebih baik berdiam daripada berkata-kata yang hanya boleh menimbulkan kecaman atau sesuatu yang negatif,” katanya.