Tetap menyelitkan adegan retorik tetapi sinikal yang mengandungi maksud tersendiri, Hantu Kak Limah sarat dengan elemen jenaka yang mengundang tawa dari awal babak hinggalah ke penghujung jalan cerita.

“Seperti biasa, saya gemarkan sebuah karya yang dekat dengan jiwa masyarakat setempat. Sebab itu saya kurang gemar menyelitkan babak yang dianggap berat.

“Cuma ada beberapa bahagian yang punyai maksud tersirat disampaikan secara berlapik menerusi dialog lontaran pelakon mahupun bahasa tubuh mereka disebabkan faktor tertentu,” katanya yang ditemui usai majlis pratonton filem tersebut baru-baru ini.

Tambah pengarah prolifik itu, dia tidak mahu naskhah tersebut mengundang kritikan sosial melampau seperti karya-karya sebelum ini membuatkannya mengadun plot penceritaan sekemas yang boleh.

Berbekalkan plot yang ringkas, kekuatan Hantu Kak Limah sebenarnya terletak kepada para pelakonnya. Tidak perlu terlalu mencuba, kesemua pelakon terlibat berjaya menterjemah watak masing-masing dengan begitu baik.

“Berbeza dengan francais terawal, kali ini saya memfokuskan satira yang lebih dekat dengan masyarakat sebagai resipi untuk menggeletek hati penonton.

“Formula ini sangat berkesan kerana telah diguna pakai ke atas beberapa naskhah arahan terawal saya termasuklah rantaian filem Rock,” jelasnya.

Meskipun ketiadaan kelibat Pak Jabit yang dilakonkan Allahyarham Man Kadir dan Pak Abu (Allahyarham Zami Ismail), Mamat yakin Hantu Kak Limah mampu menghiburkan audiens.

Meletak harapan terhadap lakonan Ropie Cecupak yang melakonkan watak Nayan sebagai penggeletek jiwa humor penonton ternyata taruhan Mamat itu benar-benar menjadi.

“Pun begitu, kewibawaan Ropie yang cemerlang mendukung wataknya tidak akan membunuh watak Husin yang berada pada tangan Awie. Masing-masing ada peluang untuk kelihatan menonjol,” tegasnya lagi.

Kehadiran muka baharu, TJ Isa yang mendukung watak Khuda turut menyuntik jenaka tersendiri yang membuatkan penonton tidak kering gusi.

Satu kejutan juga apabila melihat kemampuan Zul Ariffin yang sebelum ini sinonim dengan karakter lelaki romantik yang kelihatan tidak kekok membawakan watak Solihin, bomoh merangkap guru silat yang angkuh, namun hakikatnya pengecut.

Babak yang menampilkan Uqasha Senrose, Erra Fazira, Mus May, Jue Aziz dan Datuk Seri Dr. Vida juga pastinya memberi impak tersendiri dengan gelagat masing-masing biarpun hanya muncul walau sebabak.

Neutral tapi nakal 

Hantu Kak Limah mengangkat kehidupan pascaperkahwinan antara Khuda, lakonan TJ Isa dan Kak Limah (Delimawati) sebagai plot penting untuk menggerakkan lakon layar naskhah tersebut.

Warga kampung mula kecoh memperkata tentang kematian Kak Limah dan perkara itu disaksikan oleh Yeh Sekupang (Allahyarham Rabb Khalid) yang telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Kampung Pisang.

Keadaan menjadi aneh apabila Nayan (Ropie Cecupak) mendakwa dia baru sahaja menumpangkan Kak Limah ke rumahnya sebelum bertemu dengan Yeh Sekupang di klinik desa tersebut.

Nayan tidak mengetahui bahawa wanita yang menumpangi keretanya itu sebenarnya adalah entiti jelmaan Kak Limah, lantas keadaan menjadi kelam-kabut apabila hantu Kak Limah mula mengganggu penduduk Kampung Pisang.

Kebanyakan dialog yang dilontarkan oleh karya itu begitu neutral malah ada juga beberapa dialog nakal berbaur politik yang sangat sinonim dengan pemerhatian rakyat tempatan.

Selain cuba memperkenal beberapa lokasi menarik di sekitar Perak menerusi filemnya, setiap watak yang diangkat Mamat ke layar dikembangkan dengan begitu seimbang.

Masing-masing mempunyai peranan dan peluang untuk mempamerkan bakat lakonan yang ada dalam sebuah naskhah yang begitu besar dan menjadi perbualan penggemar filem.

Secara peribadi, tidak dinafikan filem Hantu Kak Limah pada tangan Mamat mampu berdiri sebagai sebuah filem malar segar pada masa akan datang. Bukan kerana karya itu diadunkan hasil oleh gerak kerja sebuah produksi yang terbaik semata-mata malah dilengkapkan dengan resipi mengikut cita rasa semasa penonton.

Filem Hantu Kak Limah terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold akan menemui penonton di lebih 100 pawagam bermula 9 Ogos ini.