Apalagi andai usia perkahwinan masih terlalu hijau, tentu bukan kepalang rasa gembira si suami dan isteri lantaran bakal menjengah pula ke fasa baharu dengan gelaran ibu dan bapa.

Menitip angan yang serupa, penyanyi lincah Kaka Azraff juga sama seperti mana-mana wanita lain yang telah berkahwin.

Menginginkan kesempurnaan hidup berumah tangga dengan gelaran seorang ibu, Kaka bagaimanapun seakan memberi isyarat bahawa dia masih belum dikurniakan zuriat.

Meski terlihat tubuhnya sedikit berisi, penyanyi ini bagaimanapun lekas-lekas memberi alasan dalam senyuman.

“Saya suka masak di rumah. Agaknya sebab itulah badan pun semakin berisi. Tapi doa-doakanlah kerana saya ni sememangnya seorang yang sukakan bayi,” katanya.

Menurut Kaka, sejak mendirikan rumah tangga dengan Adam Azriff, 25, pada 27 November lalu, dia dan suami tidak pernah merancang keluarga dan sudah bersedia untuk segera menimang cahaya mata.

“Saya faham, lain orang lain cara. Tetapi bagi kami berdua lebih cepat dapat anak lagi bagus.

Orang tua kami pun menekankan konsep bahawa kasih sayang antara suami isteri itu akan lebih erat dengan adanya zuriat.

“Jadi mengapa harus kami katakan tidak andai rezeki anak itu ada pada waktu ini? Saya adalah seorang individu yang percaya dengan kuasa cinta dan nilai kasih sayang. Bukankah anak juga adalah satu anugerah?” katanya.

Kisah seorang isteri

Bercerita lanjut mengenai kehidupannya sebagai seorang isteri kini, kata anak saudara Ratu Rock negara, Ella Aminuddin ini, dia bersyukur kerana dianugerahkan seorang suami yang sangat memahami dan bertanggungjawab.

Katanya, selepas berkahwin dia menyedari perubahan sikap Adam yang lebih melindungi terhadap dirinya.

“Saya rasa seronok juga bila ada suami sangat mengambil berat dan bersifat pelindung. Rasa diri lebih selamat, maklumlah ada orang jaga sekarang.

“Satu lagi, sukar juga untuk digambarkan manisnya sebuah perkahwinan itu di mana di situlah martabat kita sebagai wanita diangkat apabila menjadi seorang isteri,” katanya.

Kagum dengan sikap dan cara pemikiran Adam yang lebih matang daripada usia sebenar, Kaka menganggap ia juga satu rezeki buatnya.

“Barangkali ini adalah berkat doa ibu kerana saya pernah cakap padanya agar mendoakan saya bertemu dengan jodoh yang sesuai.

“Tak sangka akhirnya selepas asyik gagal dalam percintaan, saya dipertemukan dengan Adam dan perjalanan kami sehingga ke alam perkahwinan ini juga semuanya dipermudahkan oleh-Nya,” ujarnya.

Mengaku kagum dengan sikap komited Adam sewaktu mengenali jejaka tersebut kurang lebih setahun lalu, Kaka tidak menyangka jodohnya adalah dengan seorang lelaki yang lebih muda daripadanya.

“Inilah yang dikatakan sudah suratan takdir. Semuanya sudah tertulis bukan? Sebagai seorang manusia kerdil, saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami seperti Adam.

“Sebab itulah, saya tidak mahu menunggu lama untuk berkahwin kerana yakin Adam mampu membimbing saya sebagai seorang isteri.

Insya-Allah, doakanlah kebahagiaan kami berdua sentiasa berpanjangan,” katanya.

Perlukah berahsia?

Sedar bahawa ada sesetengah pasangan suami isteri terutama dalam kalangan selebriti selesa memilih untuk merahsiakan kehamilan pada trimester pertama, Kaka tidak menolak andai dia juga melakukan perkara serupa.

Katanya, adakala situasi pasangan atau bakal ibu itu tidak mengizinkan maka tidak mustahil ada yang memilih untuk berdiam diri terlebih dahulu mengenai kandungan.

“Saya tak nafikan, mungkin akan mengambil langkah yang sama juga. Sehingga keadaan benar-benar mengizinkan, barulah saya dan suami akan membuat pengumuman gembira itu.

“Tetapi ini cuma perancangan sahaja. Biasalah, sebagai manusia kita hanya mampu merancang tetapi Allah SWT yang menentukan,” tambahnya.

Berkongsi lanjut, Kaka mengaku nalurinya sebagai seorang wanita sudah tentu mahukan anak perempuan sebagai cahaya mata pertamanya.

Namun, pada akhirnya dia sedar asalkan kandungan dan bayi tersebut dilahirkan dengan sihat dan sempurna, itu sudah cukup untuk disyukuri.

“Kalaulah saya sudah ada anak nanti, saya fikir mahu beri dia galakkan untuk menyertai dunia pengiklanan secara komersial.

“Saya mahu dia mengikut jejak langkah ayahnya yang satu ketika dahulu pernah menjadi pelakon iklan cilik di kaca televisyen.

“Bukanlah mahu jadikan ia sebagai satu kerjaya. Tetapi tak salah bukan kalau mendidik anak itu sebagai seorang yang pandai mencari dan menyimpan duit untuk kegunaan pendidikan di masa hadapan,” katanya.