Kehadiran bayi bernama Muhammad Riyadh Zafri itu tidak hanya mengajar erti kesabaran, bahkan menyuntik semangat buat Hafiz untuk bekerja lebih keras demi keluarga.

Justeru, apa sahaja medium yang boleh menambah ekonomi dan kewangan, pasti akan digunakan sebaik mungkin oleh penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak ini. Misalnya, membuka akaun laman sosial Instagram khusus buat si kecil.

Bukan sahaja dilihat menjadi ‘kegilaan’ para artis berkongsi kisah anak di laman sosial, perkongsian itu juga mampu menjana pendapatan dan mendapat pulangan lumayan termasuk membuat ulasan dan mempromosikan produk dalam talian.

“Apabila ada peniaga yang meminta kami mempromosikan perniagaan dapat juga menambah pendapatan untuk si kecil malah pada masa sama dapat membantu peniaga dalam talian menguar-uarkan produk mereka,” ujarnya.

Pun begitu, ada juga ‘mulut-mulut jahat’ beranggapan golongan selebriti sengaja mahu menggunakan si anak sebagai meraih keuntungan atau dengan kata lain ‘jual anak’.

Juara Akademi Fantasia musim ketujuh yang menggunakan profil @riyadhzafri untuk akaun Instagram puteranya itu yang kini sudah memiliki hampir 7,000 pengikut ada jawapan pada dakwaan sedemikian.

“Ada kebaikan dan keburukan apabila membuka laman sosial buat anak. Dari segi positif sebenarnya untuk masa depan anak juga. Orang buka Instagram ini lebih kepada mahu abadikan gambar-gambar sebagai kenangan dan dijadikan sebagai diari foto bergerak.

“Bagaimanapun, dari sisi negatifnya pula, adakalanya boleh jadi mangsa jenayah siber dan terjebak dengan perkara-perkara yang tak elok. Semua positif dan negatifnya memang ada saya fikirkan sebelum ni.

“Tanggungjawab saya sebagai bapa mestilah kena pastikan perkara-perkara seumpama itu tidak berlaku. Kenalah sentiasa waspada, pantau dan kawal setiap foto-foto yang mahu dimuat naik terlebih dahulu agar orang tak salah guna,” katanya lagi.

Berkongsi pendapat mengenai isu menggunakan anak demi meraih pendapatan, yang pasti kata Hafiz, dia berfikiran terbuka dan langsung tidak terlintas pada fikirannya mahu menggunakan anak semata-mata keuntungan sendiri.

Jika ada pun, berbalik kepada rezeki yang dikurniakan buat keluarganya sama seperti anak pasangan artis lain.

“Pada saya itu rezeki anak. Kadang-kadang Instagram anak artis ini lagi ramai pengikut berbanding selebriti itu sendiri. Itu realiti dunia seni zaman sekarang. Malah boleh jadi tambah nilai untuk masa depannya juga.

“Kalau tertulis itu rezeki anak, takkanlah saya nak halang? Semua itu rezeki. Setiap pasangan ada rezeki masing-masing sama juga dengan zuriat, ada bahagian dan rezeki sendiri,” ujarnya yang bergelar bapa pada 31 Disember lalu.

Malah penyanyi yang popular dengan lagu Awan Nano ini mengakui, belumpun anaknya itu habis tempoh berpantang selama 44 hari, sudah ramai pihak yang menawarkan pelbagai tawaran buat cahaya matanya itu.

“Saya baru sahaja membuka akaun di laman sosial, anakpun belum habis lagi tempoh pantang namun rezekinya sudah ada. Itulah namanya ruang rezeki anak. Ramai yang tawarkan pelbagai tawaran.

“Bukan sahaja rezeki anak, apabila kita buat ulasan di laman sosial juga secara tak langsung kita turut membantu perniagaan orang lain,” ujarnya yang bakal berkongsi wajah bayinya selepas habis tempoh berpantang. 
– NURFARHANA MOHAMED

 

TIGA tahun menyepi tanpa sebarang karya baharu serta kurang membuat persembahan nyanyian, kali ini jejaka berusia 28 tahun itu sudah bersedia untuk kembali merancakkan perjalanan seninya.

Meskipun akur dengan kewujudan pelapis baharu yang mewarnai pasaran, Hafiz mengakui, tidak kisah jika perlu bermula dari bawah.

“Walau saya sudah ada nama tapi zaman berubah. Serba-serbi semakin pantas bergerak begitu juga dengan industri muzik. Pada saya memang tamparan hebatlah terutama dengan keumunculan pendatang baharu.

“Terus-terang, memang ada sedikit terasa tetapi saya perlu hadapi semua itu. Itulah fakta industri pada masa ini. Namun saya tetap bersyukur masih ada peminat beri sokongan walau kemunculan penyanyi baharu bak pisang goreng panas.

“Dan saya akui saya tak kisah jika kena bersusah payah untuk menempatkan nama semula,” katanya.

Demi mengubati kerinduan peminat, Hafiz tampil dengan single Hari Ini Dalam Sejarah yang disifatkan sebagai sebuah karya ‘emas’ yang mengisahkan perjalanan hidupnya.

“Saya sengaja pilih lagu rancak dan tampil berbeza seperti selalu. Secara tidak langsung boleh jadi pembakar semangat kepada karier seni saya. Tapi itu bukanlah bermakna saya tidak lagi mahu menyanyi lagu balada.

“Insya-Allah selepas ini akan ada lagi seleksi lagu baharu berentak balada daripada saya.

“Saya harus ikut trend semasa. Ketika ini lagu-lagu berentak rancak sebegitu lebih mendapat tempat di telinga pendengar. Jadi saya kena ikut selera pendengar,” jelasnya.