Bagaimanapun tahun lepas hatinya terbuka untuk melangkah ke bidang baharu dan bersedia mengharungi cabaran dengan menubuhkan FS Creative Sdn. Bhd. selepas bertemu dengan seorang wakil stesen televisyen.

Masakan tidak, orang kuat stesen tersebut telah menawarkan satu slot kepadanya dan bertanya, apa yang dia boleh lakukan untuk tempoh tayangan tersebut. Pasti sahaja dia tidak menolak peluang yang sudah terbentang di depan mata dan memberanikan diri menyahut cabaran.

Pun begitu, bukan mudah untuk aktres popular itu memilih genre buat projek sulungnya kerana dia mahu rancangan yang bakal diterbitkan mengikut kehendak dirinya kerana tentu sahaja karya sulungnya itu membabitkan penglibatannya bukan sahaja sebagai produser tetapi juga pelakon.

Justeru dia memilih sitkom sebagai langkah pertama dalam penghasilan projek kerana tidak perlu terkejar-kejar untuk ke sesuatu lokasi seperti yang sering kali berlaku kepada penggambaran drama.

“Ada sebab mengapa saya memilih sitkom sebagai projek pertama terbitan saya. Ini kerana selalunya bila berada di lokasi drama, saya impikan alangkah baiknya kalau saya tak perlu bertukar-tukar lokasi dan menyalin baju dua tiga kali untuk setiap adegan.

“Jadi untuk elak perkara sebegitu, saya memilih sitkom kerana lokasinya hanya di studio dan tidak perlu menukar banyak kali pakaian. Dan lebih penting, saya boleh bawa anak-anak ke set, luangkan masa dengan mereka dan pada waktu yang sama dapat menguruskan perniagaan,” jelasnya.

Lebih senang melakukan sesuatu yang tidak renyah seperti penerbitan sebuah sitkom, kata Fasha Sandha, sitkom Mamu Mami Gosip bukan sahaja telah membuka pintu rezeki malah dekat dengan dirinya.

Dek banyak berlakon dalam filem-filem komedi sebelum ini seperti Anak Mami, dia tahu keseronokan berlakon dengan pelawak dan dari situ terfikir untuk menerbitkan sitkom tersebut.

Malah katanya, dia lebih senang menumpukan penerbitan sitkom atau program bual bicara untuk projek-projek akan datang kerana tidak mahu berhadapan dengan pelbagai cabaran yang remeh-temeh.

Peminat Pi Mai Pi Mai Tang Tu

Bukan sekadar seorang penerbit, Fasha Sandha berkata, dia juga melontar idea untuk skrip sitkom Mamu Mami Gosip.

“Skrip adalah idea saya, begitu juga dengan kandungan jalan cerita. Saya hanya beritahu penulis skrip, FF Kencana dan Haris untuk tulis yang saya inginkan. Kadang-kadang bila di set, skrip berubah dan setakat ini, pengarah, Aizam Syamsul tidak membantah pertukaran yang dibuat.

“Setiap episod menampilkan jalan cerita berbeza berdasarkan isu semasa. Saya juga memilih barisan pelakon untuk sitkom ini. Pelakon tetap ialah Kazar Saisi, Delimawati Ismail, Tauke Jambu, Elisya Sandha, Fikhree Bakar dan Afifah Nasir.

“Saya pegang watak Cempaka dan muncul dalam 20 episod,” katanya yang turut mengundang jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Vida dan Imuda sebagai pelakon undangan.

Tambahnya: “Saya memilih Kazar untuk membawa watak Mamu kerana dia seorang yang kelakar dan kreatif. Lagipun kami pernah berlakon bersama-sama sebelum ini. Begitu juga dengan Kak Delimawati. Dia mampu buat saya ketawa walaupun dia bersahaja. Saya mudah terhibur dengan dia dan saya pilih dia jadi heroin.”

Menurut Fasha Sandha, sebagai peminat sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang pernah popular suatu ketika dahulu, dia juga berhasrat mahu mengembalikan kegemilangan seperti sitkom arahan Othman Hafsham tersebut.

Dalam pada itu Fasha Sandha berkata, kesibukan sebagai penerbit tidak menghalangnya untuk meneruskan aktiviti sebagai pelakon malah akan terbabit dengan drama Teratai Kemboja, arahan Along Kamaludin sebaik selesai penggambaran Mamu Mami Gosip.

Fasha Sanda belanja RM1 juta

MENYEDARI untuk bergelar penerbit, faktor utama yang perlu diambil kira adalah kewangan, Fasha Sandha sanggup mengeluarkan wang simpanan Amanah Saham Nasional (ASB) untuk dijadikan modal perniagaan.

Jelasnya, dia tidak suka meminjam atau memohon dana yang diperuntuk oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kerana tidak mahu menyusahkan dirinya pada kemudian hari.

“Untuk terbit sitkom ini saya sanggup keluarkan simpanan ASB. Saya tak kisah keluarkan asalkan saya tahu ke mana duit itu pergi. Kerana bukannya digunakan ke saluran tidak betul seperti membeli-belah beg-beg tangan berjenama atau kereta mewah,” ujarnya.

Mengakui mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1 juta untuk penghasilan sitkom Mamu Mami Gosip sebanyak 50 episod, kos tersebut meliputi 50 pelakon termasuk pelakon undangan, props, sewa studio dan melibatkan kebajikan tenaga kerja seperti penyediaan makanan dan sebagainya.

Tambah Fasha Sandha untuk menerbit sitkom tersebut, dia banyak belajar daripada penerbit berpengalaman seperti Datuk A. Aida, Datuk Hans Isaac dan kawan-kawan pelakon yang sudah bergelar produser untuk menimba pengalaman dan bertanya pendapat mereka mengenai selok-belok dunia penerbitan.