Menolak pendapat yang mengatakan dia mahu melupakan bidang lakonan, ternyata Aaron saat ini ada perkara yang lebih penting yang perlu diutamakan olehnya.

“Sepanjang berada dalam industri, Allah sudah berikan rezeki yang banyak untuk saya. Sudah sampai masanya pula saya memberi fokus kepada amal ibadat pula.

“Senang cerita saya sudah tidak terkejar-kejar lagi dalam bidang ini,” katanya.

Bercakap soal populariti, ternyata ada sisi matang yang ingin disampaikan oleh Aaron. Jelasnya, selepas melalui pelbagai rintangan untuk berada pada tahap ini, dia reda menerima keadaan jika benar namanya tidak lagi menjadi sebutan penonton di negara ini.

“Bagi saya, jika tidak popular lagi bukan perkara yang perlu dirisaukan. Saya sudah melalui zaman populariti tersebut dan saya gembira dengan keadaan saya kini.

“Cuma saya tidak nafikan seronok melihat kebangkitan drama dan filem kita. Malah lebih ramai pelakon sudah mampu membawakan watak yang memberi impak kepada penonton dan ini adalah sesuatu yang bagus,” katanya.

Tidak melihat sikap kurang agresif dalam industri kebelakangan ini sebagai tanda untuk dia meninggalkan bidang seni, kata Aaron, cinta dalam bidang lakonan tidak pernah pudar malah masih mengharapkan watak yang pelbagai.

“Saya masih sayangkan bidang lakonan dan tidak pernah terfikir untuk meninggalkan bidang ini. Malah menonton pelbagai karya di televisyen sering membuatkan saya teringin menjayakan watak-watak yang lebih besar.

“Malah ketika ini juga saya masih sibuk dengan tawaran, syukur dengan kepercayaan dan rezeki yang diberikan,” katanya.

Bercakap mengenai pilihan untuk meninggalkan projek filem untuk saluran HBO demi memberi tumpuan kepada isterinya, jelas Aaron, sebagai ketua keluarga dia lebih pentingkan tanggungjawabnya itu.

Walaupun keadaan kesihatan isterinya, Diyana Halik tidak serius, namun dia yakin berada di sisi wanita kesayangannya itu adalah pilihan yang tepat.

“Saya akui tawaran berlakon dalam projek filem untuk saluran HBO itu adalah peluang yang sangat besar dan platform terbaik karier seni untuk dikenali pada peringkat antarabangsa.

“Isteri sendiri berasa bersalah apabila dapat tahu saya terpaksa melepaskan peluang keemasan itu.

“Sebetulnya saya sudah berada di lokasi penggambaran untuk memulakan sesi latihan untuk watak dalam filem itu tapi sayangnya tidak dapat diteruskan.

“Mujur penerbit filem itu cukup memahami situasi dialami dan profesional ketika kami berbincang mengenai masalah keluarga dihadapi,” katanya.

 

Bangga sambutan filem tempatan

Dengan kebangkitan filem Melayu di pawagam kini, Aaron tidak berselindung tentang perasaan bangganya terhadap industri perfileman tempatan.

Malah dengan kutipan pecah panggung filem-filem Melayu sejak kebelakangan ini, dia turut memuji kemampuan industri perfileman negara yang dilihat semakin maju.

“Melihat sendiri komen yang ditinggalkan penonton filem Paskal, kita tahu bagaimana hebatnya karya tersebut. Ini adalah satu peningkatan yang baik untuk filem di negara ini.

“Soal sama ada saya takut mengenai sambutan filem lakonan baharu saya, Operasi X, rasanya tidak. Ini sebab saya sudah melakukan yang terbaik untuk filem ini.

“Bagaimanapun bagi penonton yang bakal menyaksikannya di pawagam, saya perlu jelaskan yang filem ini berbeza dengan Paskal. Jadi saya harap tiada yang akan membuat perbandingan,” katanya.

Menerusi Operasi X, Aaron membawakan watak sebagai ASP Redzuan dan turut berlakon di samping Datuk Awie, Nasir Bilal Khan dan Hanna Aqeela dan diarahkan oleh Sandosh Kesavan.