Filem yang menggunakan tajuk lagu Bohemian Rhapsody daripada album A Night At the Opera iaitu album keempat kumpulan itu yang dikeluarkan pada Oktober 1975, berjaya meraih keuntungan hampir RM3.2 bilion.

Bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS), fenomena Bohemian Rhapsody turut merebak ke Korea Selatan negara kelahiran K-pop apabila berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM303 juta, penyumbang ketiga keuntungan selepas AS dan Jepun.

Malah hampir 9.4 juta tiket berjaya dijual di Korea Selatan yang berpendudukan 51 juta orang.

Di Jepun filem ini meraih keuntungan RM306.4 juta walaupun ditayang lewat berbanding di Korea Selatan namun dimaklumkan kejayaan Bohemian Rhapsody di negara Matahari Terbit ini bukan kerana promosi besar-besaran sebaliknya hanyalah melalui berita mulut ke mulut.

Berbeza filem lain, penonton yang menonton Bohemian Rhapsody dikhabarkan seolah-olah ‘dikuasai’ semangat Freedie Mercury apabila sepanjang tayangan mereka turut bersama menyanyi lagu We Will Rock You dan We Are The Champions selain bertepuk tangan.

Malah, peminat K-pop di seluruh dunia juga terpinga-pinga apabila penyanyi idola mereka secara tiba-tiba memilih lagu kumpulan Queen setiap kali muncul dalam progam muzik atau variety show.

Bohemian Rhapsody ini dianggap sebagai sebuah filem biasa tentang kegemilangan sebuah kumpulan rock yang berasal dari Britain, peristiwa di belakang tabir pentas, pertelingkahan dalaman antara anggota kumpulan selain kehidupan peribadi Freddie.

Walaupun dipalit dengan pelbagai isu kontroversi peribadi Freddie dan kritikan negatif, filem ini berjaya meraih anugerah filem terbaik pada anugerah Golden Globe selain Rami Malek, pelakon yang membawa watak Freddie turut menggondol anugerah pelakon terbaik.

Lagu Bohemian Rhapsody turut memecah rekod sebagai lagu paling banyak ‘distream’ pada abad ke-20, lapor Universal Music Group.

Video daripada lagu tersebut menerusi album A Night At the Opera telah ‘distream’ lebih 1.6 bilion peminat di seluruh dunia menerusi perkhidmatan stream popular termasuk Spotify dan Youtube.

Sejak ditayangkan pada November tahun lalu, lagu berkenaan yang kini berusia 44 tahun kembali ke carta Billboard 100 Hot dengan menduduki tangga ke-45 selain menjadi lagu ke-11 paling banyak ‘distream’ di seluruh dunia di Spotify.

Malah lagu Bohemian Rhapsody turut tersenarai sebagai lagu rock klasik malar segar yang paling banyak ‘distream’ sepanjang masa.

Di sebalik kejayaan besar filem Bohemian Rhapsody, terdapat beberapa pihak yang akan mengaut keuntungan antaranya bekas tunang Freddie, Mary Austin, 67 yang dijangka menerima ‘durian runtuh’ menerusi royalti filem ini berjumlah RM211 juta.

Austin bertemu Freddie pada 1970 pada usia 19 tahun ketika masih menuntut dalam bidang seni dan walaupun pertunangan mereka tidak berakhir dengan perkahwinan selepas penyanyi itu mendedahkan dirinya sebagai homoseksual, namun pasangan itu kekal sebagai rakan karib sepanjang hidup Freddie.

Selepas kematian Freddie ketika berusia 45 tahun pada 1991 akibat penyakit AIDS, penyanyi itu mewasiatkan 50 peratus daripada pendapatannya kepada Austin sementara ibu bapa penyanyi itu masing-masing menerima 25 peratus.

Namun selepas kematian ibu bapa Freddie, wanita berkenaan memperoleh 75 peratus pendapatan itu selain menerima rumah agam 28 bilik bernilai RM105.3 juta di barat London serta harta lain termasuk koleksi lukisan serta perabot koleksi Louis XV bernilai RM47.4 juta, milik Freddie.

Anggota kumpulan Queen yang masih hidup, pemain gitar, Brian May; pemain dram dan penyanyi, Roger Taylor dan pemain gitar bass, John Deacon, masing-masing akan memperoleh royalti bernilai hampir RM332 juta.