Konsert bertaraf antarabangsa itu digegarkan dengan persembahan 14 artis tempatan dan luar negara, termasuk Dayang Nurfaizah, Blues Gang, Tompi, Tulus, Aditya dan Aisyah Aziz.

KWJF2018 dianggap lebih berjaya berbanding dengan penganjuran pertama pada tahun lalu. Pada festival tahun ini, lebih 5,000 penonton hadir menyaksikan konsert tersebut.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak merangkap pengasas KWJF, Soedirman Aini gembira dengan sambutan mem­be­rangsangkan daripada peminat terhadap konsert tersebut.

Katanya, sambutan luar biasa itu membuktikan KWJF2018 menjadi acara yang dinanti-dinantikan setelah dianjurkan buat kali pertama pada tahun lalu.

“Ada peminat datang dari luar Sarawak. Penduduk di Semenanjung Malaysia, Indonesia, Brunei dan Sabah hadir ke konsert ini semata-mata mahu melihat artis pujaan mereka membuat persembahan.

“Saya turut dimaklumkan peminat dari Pontianak, Indonesia turut datang dengan menaiki dua buah bas persiaran ke konsert ini,” katanya.

Soedirman memberitahu, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak telah menyuarakan sokongan agar acara tersebut dapat diteruskan dan dianjurkan lebih meriah pada tahun hadapan.

“Ber­dasarkan maklum balas penonton, ramai yang mahukan konsert dijadikan acara tahunan di Kuching.

“Mungkin pada tahun akan datang, kita akan bawakan lebih ramai selebriti terkenal, termasuk satu atau dua artis dari Barat,” ujarnya.

Tulus yang membuat persembahan pada malam kedua konsert tersebut menyuarakan kegembiraan kerana diberi peluang untuk bersama-sama artis lain menjayakan KWJF2018.

“Saya gembira kerana dapat membuat persembahan dan bertemu peminat di negeri lain dalam Malaysia. Penerimaan peminat di sini amat luar biasa.

“Saya cukup seronok membuat persembahan dalam mana-mana festival dan diharapkan lebih banyak festival muzik seperti ini dianjurkan,” katanya.

Pada malam tersebut, Tulus membawakan beberapa lagu antaranya Bengawan Solo, Seribu Tahun Lamanya dan Monokrom.

“Ada sedikit perubahan pada susunan muzik dalam lagu dilakukan sebagai ‘pemanis’ untuk persembahan ini. Namun perubahan itu tidaklah banyak.

“Saya pasti peminat mahu mendengar lagu-lagu saya dalam susunan asal, seperti yang dirakam dalam studio,” ujarnya.