Enam tahun beroperasi, tidak keterlaluan andai mengatakan label pakaian yang menyasarkan golongan wanita yang sukakan fesyen terkini pada harga berpatutan itu berjaya mencuri hati pembeli.

Biarpun pada awalnya pelbagai perasaan timbul sebelum tekad menceburi bidang tersebut, kegemarannya berfesyen sejak kecil dan suka mengikuti trend semasa membuatkan isteri aktor Fattah Amin membulatkan hati.

“Selain dunia seni, fesyen adalah jiwa saya. Peminat juga sering bertanyakan di mana saya mendapatkan pakaian yang tersarung pada badan yang saya kongsikan dalam laman sosial.

“Jadi kenapa tidak saya gunakan peluang ini untuk membuka jenama saya sendiri? Lalu pada 2012 ‘lahirlah’ Fazbulous yang kini menjadi nadi saya,” ujarnya.

Malah aktres ini melahirkan rasa syukur apabila jenamanya bakal melebarkan sayap di pasaran antarabangsa apabila berpeluang menyertai Minggu Fesyen New York, Amerika Syarikat pada 7 September ini.

Berterima kasih kepada Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) kerana menawarkan peluang tersebut, Fazura berharap dapat mengharumkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Saya seorang yang sentiasa menyokong produk tempatan yang mahu dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Ini satu peluang untuk tonjolkan keistimewaan yang ada di negara kita.

“Ini juga adalah penglibatan pertama jenama saya dalam Minggu Fesyen di New York. Sebelum ini, saya hanya diundang sebagai tetamu sahaja. Saya tidak nafikan teruja dengan tawaran Peniagawati.

“Sudah pasti saya akan manfaatkan masa yang diberikan iaitu selama 15 minit untuk peragaan dan saya akan membawa tujuh pasang rekaan Fazbulous yang bertemakan kegembiraan dan kebebasan pada pertunjukan fesyen itu nanti,” katanya.

SEMENTARA itu, Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin menegaskan, dia akan terus bersuara mengenai ketidakadilan sikap sesetengah pihak yang memperlekeh bentuk badan seseorang individu.

Baginya, isu tersebut bukan sahaja sensitif malah tidak beretika dan berintergriti selain merupakan gejala kurang sihat dalam masyarakat yang terkenal dengan adat ketimuran.

Mengakui kecewa dan sedih dengan sikap segelintir pihak yang mempersenda fizikal wakil yang menerima trofi bagi pihaknya pada Anugerah Telenovela 2018 tempoh hari, kata Fazura:

“Tugas sebagai penyampai menyerahkan trofi dan tak sepatutnya mengeluarkan kata-kata yang kurang enak kepada orang lain.

“Malah lebih menyedihkan lagi apabila satu dewan turut ketawa hanya kerana mereka menganggap mencela fizikal orang itu satu perkara kelakar.

“Kenapa perlu berjenaka sampai mengaibkan orang? Banyak lagi bahan lawak lain yang boleh dijadikan hiburan tetapi mengapa memilih untuk menjatuhkan maruah orang lain?

“Sebagai seorang selebriti saya terpanggil untuk menyuarakan perkara ini sebab saya perlu bersuara untuk orang yang tidak boleh bersuara,” tegasnya.

Siri jelajah album

Dalam pada itu, Fazura turut berkongsi jadual seninya yang padat dengan siri mempromosikan albumnya yang sudah pun berada di pasaran sejak November lalu.

Malah katanya, sebaik sahaja selesai pembabitan dengan pertunjukan fesyen di New York, dia akan sibuk menjayakan siri jelajah dan promosi albumnya.

“Kalau ikut jadual, saya akan ke Kota Kinabalu, Sabah bulan depan selepas pulang dari New York untuk bertemu penyokong saya di sana selain menghiburkan mereka dengan persembahan yang telah dirancang.

“Walaupun saya sibuk dengan karier nyanyian, dunia lakonan masih menjadi keutamaan. Insya-Allah, jika tiada halangan, saya dan Fattah akan bergandingan dalam sebuah drama, namun masih lagi dalam proses perbincangan dengan produksi,” katanya.

Fazura turut menyuarakan hasratnya yang sedang mencari bakat baharu dalam dunia penulisan lagu dan lirik dan membuka peluang kepada orang luar yang berminat untuk mencuba nasib.

“Untuk single akan datang, saya inginkan kelainan dan berhasrat menjalinkan kerjasama dengan komposer muda yang mempunyai idea kreatif kerana saya tidak mahu tumpukan perhatian kepada komposer senior sahaja.

“Mungkin boleh hasilkan karya tentang isu semasa dan dijadikan lirik yang bagus. Siapa tahu, mungkin lagu itu bakal diminati?” tuturnya yang mahu terus kekal dengan genre pop.