FAZLEY YAAKOB bangga diplih sebagai penerima Alumni Paling Cemerlang sempena Majlis Gala Alumni Le Cordon Bleu pada 18 September.

Dalam majlis anugerah yang diadakan di Le Cordon Blue, Paris, Perancis buat julung kalinya ini, selain Fazley, tiga graduan turut tersenarai dalam kategori sama iaitu Ye Daniel dari China, Aaron Isip (Filipina) dan Shu Pin Sandra Yu (Taiwan).

“Saya sangat gembira dan bangga dengan pencapaian terbaharu ini. Ia lebih bermakna apabila nama Malaysia turut disebut ketika pengumuman pemenang dibuat.

“Bagi saya, detik tersebut membuatkan saya terharu dan lebih bersemangat untuk memperkenalkan masakan Malaysia di mata dunia,” jelasnya pada majlis pelancaran portal membeli-belah dalam talian pasar raya Jaya Grocer, hari ini.

Le Cordon Bleu merupakan institut yang menawarkan pengajian seni kulinari dan pengurusan hotel terbaik sejak tahun 1985 dengan penglibatan 20,000 pelajar daripada 100 negara setiap tahun.

Fazley merupakan salah seorang bekas graduan institut berkenaan dengan mengambil jurusan Diploma de Patisserie pada tahun 2013 dan Hautes Etudes du Gout (2016).

Anugerah ini didedikasikan khas kepada bekas graduan Le Cordon Bleu yang meraih kepelbagaian pencapaian cemerlang dalam dunia kulinari, keberkesanan berkongsi ilmu menerusi dunia tersebut serta mendapat liputan media paling efektif menerusi karier masing-masing selepas menamatkan pengajian di institut berkenaan.

Pemilihan anugerah ini diadili oleh empat juri khas iaitu Cef Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Seni Kulinari Le Cordon Bleu Paris, Eric Briffard; Pastry Cef Tebaik Perancis 2015, Jérôme Chaucesse; Cef Eksekutif Restoran Laurent dan Cef Michellin Star, Cef Alain Pégouret serta Pengarah Sommelier Hotel Ternama di Paris, Estelle Touzet.

Sementara itu, Fazley turut dilantik sebagai duta baharu pasar raya Jaya Grocer. Kini, pasar raya tersebut mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan portal membeli-belah dalam talian, www.jayagrocer.com yang dilancarkan hari ini. - UTUSAN ONLINE