Bukan sahaja setiap perkongsian di laman sosial menjadi bualan hangat netizen malah kehadiran mereka pada acara keramaian menjadi buruan lensa tidak kira oleh media massa mahupun peminat yang ingin merakam momen pasangan ini.

Melalui fasa solo yang cukup selesa selain pernah beberapa kali menjalin hubungan cinta, pada mulanya Fazura tidak merasakan perkahwinan adalah satu jawapan kepada kehidupan yang bahagia.

Malah pada awalnya dia takut perkahwinan hanya akan menyebabkan kariernya  mati begitu sahaja.

Bagaimanapun pilihan untuk mendirikan rumah tangga dengan Fattah memberi gambaran baharu buat definisi hidupnya kini. Selain mengecapi bahagia, jelas Fazura, suaminya juga adalah penyokong utama dalam kariernya.

“Saya memang risau dengan perkahwinan sebab trauma dengan hubungan sebelum ini yang banyak mengawal saya. Saya takut karier saya terganggu tetapi Fattah berbeza. 

“Kalau saya tahu ini rasanya alam perkahwinan, awal-awal lagi saya mahu berkahwin,”  katanya berseloroh.

Dia kemudiannya menyambung: “Pada mulanya memang saya beranggapan hidup solo itu lebih selesa sebab kita boleh buat keputusan sendiri tanpa gangguan. Bagaimanapun Fattah tidak pernah meletakkan saya dalam keadaan tertekan.”

Tidak jemu-jemu memuji suaminya, Fazura turut menggambarkan suaminya itu juga seorang yang sangat penyabar. 

“Dia adalah seorang suami yang baik, berkenalan hanya enam bulan sebelum berkahwin ternyata tempoh tiga bulan ini sangat manis sebab kami saling mengenali hati budi masing-masing.

“Yang orang tidak tahu mengenai dia, suami saya adalah seorang yang pemaaf. 

“Sebenarnya dalam tempoh tiga bulan ini banyak yang berlaku kepada dirinya tetapi dia tetap bersabar,” jelas Fazura.

Mengakui yang Fattah bukan sekadar suami tetapi insan yang akan sentiasa dengannya ketika jatuh dan bangun, kata Fazura, kehadiran Fattah menyempurnakan dirinya. 

“Apabila kita dalam masalah, dia ada dengan saya... begitu juga bila kita pulang ke rumah, kita ada seseorang yang menanti.

“Kelebihan berkahwin bukan sekadar saya dapat meneruskan pekerjaan saya seperti biasa tetapi juga dapat seorang suami yang sangat memahami,” ujarnya.

Tambah Fazura, kehadiran Fattah turut disenangi rakan-rakan yang selama ini menjadi peneman setianya. 

“Pada mulanya memang kawan-kawan saya agak skeptikal dengan Fattah apabila  mendengar pelbagai kisah (yang) tidak benar. 

“Tetapi apabila mereka sendiri mengenali Fattah, ternyata mereka juga bersetuju dengan pilihan saya.

“Fattah juga tidak ada masalah untuk berkawan dengan rakan-rakan saya. Hubungan mereka sangat baik,” kata Fazura yang memilih tema kisah dongeng untuk majlis resepsi mereka yang bakal diadakan pada 25 Februari ini secara tertutup.

“Resepsi ini juga tidak akan mendapat liputan di laman sosial bagi menghormati keluarga saya yang mahu privasi dalam hal ini. 

“Bagaimanapun pada 11 Mac nanti akan diadakan satu lagi resepsi khas buat peminat dan ramai yang boleh hadir,” jelasnya.

Semakin kenal, semakin manja

Fattah yang ditemui pada pelancaran produk terkini keluarannya juga turut berkongsi kisah rumah tangganya.

“Sebenarnya kalau peminat perasan kami berdua ada persamaan iaitu seorang yang manja. Jadi bila di rumah, sikap manja kami lain macam. 

“Semakin kami saling mengenali dengan lebih rapat, semakin manja jadinya,” dedahnya kepada Mega HITS.

Bukan itu sahaja, Fattah juga memberitahu, disebabkan sikap manja masing-masing, hal kecil pun mereka kongsi sehingga topik perbualan menjadi serius dan panjang lebar.

“Mungkin itu cara untuk kami pupuk kepercayaan dan memahami antara satu sama lain. Kadang-kadang kita rasa hal itu kecil tetapi orang lain fikir sebaliknya. 

“Jadi supaya tidak timbul sebarang masalah, kami cerita mengenai semua perkara,” ujarnya.

Tentang persediaan pasangan itu dalam memikirkan soal cahaya mata, Fattah menyerahkan hal tersebut kepada Yang Maha Kuasa untuk menentukan rezeki mereka.

Katanya, dia dan Fazura tidak merancang atau menetapkan sebarang tempoh yang sesuai untuk menimang cahaya mata hanya kerana mahu mengecap kebahagiaan alam perkahwinan pada tahap optimum. 

“Kami tidak kisah jika ditakdirkan untuk memperoleh zuriat dalam masa terdekat. 

“Meskipun masing-masing sibuk, saya pasti dengan kehadiran cahaya mata, Allah akan permudah kerana anak itu sumber rezeki,” jelasnya 

Berhenti berlakon?

FATTAH yang bakal tampil menerusi filem sulung, KL Special Force pada 8 Mac ini berharap karya arahan Syafiq Yusof itu dapat mengubah landskap seninya.

Begitu dikenali dengan watak romantik ekoran kejayaan beberapa drama lakonannya, Fattah mahu menjadikan filem tersebut sebagai penanda aras baharu dalam hala tuju terhadap bidang seni.

“Sebenarnya saya sudah berhenti menerima sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberi fokus terhadap promosi filem ini.

“Saya harap sentuhan magis Syafiq itu dapat menukar persepsi penonton yang selama ini mengatakan saya seorang pelakon stereotaip, terikat dengan satu-satu watak sahaja.

“Membawakan watak seorang polis dengan lagak aksi yang dilakonkan sendiri menerusi beberapa babak, harapnya penonton boleh membuat penilaian mereka.

“Rakan lakon, Datuk Rosyam Nor dan Syamsul Yusof juga banyak membantu menggilap bakat untuk menyerlahkan sisi lain Fattah Amin,” katanya.

Pada masa yang sama, keputusan untuk berehat seketika daripada lapangan seni adalah untuk memberi fokus kepada perniagaannya yang baru sahaja ditubuhkan.

“Saya baru sahaja melancarkan  produk pertama syarikat milik saya, MRP Diet Sdn. Bhd., berupa sup segera dengan tiga perisa iaitu tom yam, cendawan dan ayam.

“Produk ini adalah bayi sulung saya dan perlu diberikan tumpuan supaya perjalannya lancar, bukan hangat-hangat tahi ayam.

“Selepas sup, MRP Diet juga akan mengeluarkan produk minuman kesihatan detoks berperisa buah beri yang dinamakan BerryTox.

“Harap langkah saya untuk membina empayar perniagaan dipermudah dari semasa ke semasa,” katanya.

Buah tangan baharu

Menghabiskan masa selama dua minggu di Iran untuk menyiapkan naskhah terkini lakonannya yang kini di tayangkan di Astro First Eksklusif, bagi Fazura, Janji Zehan memberi peluang untuknya mendalami satu lagi budaya baharu.

“Apabila diberi peluang untuk berlakon dengan Bernard Chauly, saya terus bersetuju. 

“Memang pada mulanya apabila beritahu lokasi penggambaran di Iran, saya agak skeptikal. Malah bukan sahaja saya tetapi juga keluarga dan rakan. 

“Tetapi bila sampai di sana semuanya baik malah kami dapat menjalani penggambaran dengan lancar.

“Yang menjadi perbezaan adalah makanannya, memang pada mulanya saya tidak biasa tetapi selama dua minggu di sana saya belajar erti menghormati budaya dan erti kesabaran,” katanya.

Kali pertama digandingkan dengan pelakon kelahiran Iran, Amir Rezazadeh, Fazura memberitahu, dia berpuas hati dengan gandingan berkenaan.

“Bercakap soal perbezaan memang ada sebab saya sudah lama berlakon tetapi dia masih baharu namun semuanya berjalan dengan baik.

“Berlakon sebagai pasangan suami isteri juga memerlukan kami mencipta keserasian dan kami tiada masalah,” katanya.

Selain Bernard, Zabrina Fernandez juga adalah pengarah bersama Janji Zehan. 

Berdurasi selama 90 minit, telefilem ini bergenre drama dan romantik turut membuat penampilan khas ialah Bront Palarae sebagai abang kepada Zehan bernama Faizal. 

Fazura juga baru selesai menjalani penggambaran filem baharu, The Legend of Pontianak berpasangan dengan Remy Ishak.