Yana yang juga seorang pelakon bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut kerana tidak mempunyai butiran lengkap.


“Farid masih ada di sini dan belum pulang ke kampungnya di Kedah. Namun apa-apa perkembangan mengenai beliau perlu ditanya kepada suami saya, Fadzil kerana dia yang menguruskan hal ini,” ujarnya ketika ditemui dalam majlis tayangan program 2018 Media Prima di sebuah hotel terkemuka di sini sebentar tadi.

Menurut Yana juga, mereka sekeluarga menerima dugaan yang berlaku ke atas Farid sebagai hikmah.

Kata Yana lagi, sebelum kejadian Farid menampar seorang anggota polis dan mencederakan anggota awam, mereka sekeluarga cuba menjejaki dan menghubungi aktor dan pengarah itu.

“Namun takdir Tuhan tiada siapa dapat menghalang ia daripada berlaku. Saya berharap kejadian tersebut dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada semua orang,” ujar Yana yang menyatakan rasa bersyukur kerana abang iparnya itu sudah dibebaskan daripada reman.

Farid yang juga pelakon utama drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu sebelum ini didakwa di mahkamah atas empat pertuduhan jenayah namun telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 pada Selasa lalu. - UTUSAN ONLINE