Membawakan watak wanita bertudung bernama Aisy dalam drama berkenaan, Fawa ketika dihubungi Utusan Online mengharapkan doa peminat agar suatu hari nanti dia diberikan hidayah untuk berimej sedemikian.

“Insya-Allah, apabila tiba waktunya saya akan pakai tudung. Cuma saya harapkan supaya para peminat doakan yang baik-baik untuk saya.

“Tidak dinafikan, memang ramai yang mahu melihat saya kekalkan imej Aisy di luar set penggambaran, bukan dalam lakonan semata-mata,” katanya.

Terdahulu, penonton setia drama lakonan Zul Ariffin itu mula memperkatakan tentang penampilan Fawa yang disifatkan lebih cantik dan ayu mengenakan tudung berbanding sebaliknya.

Malah, bagi peminat yang baru mengenali Fawa, mereka agak terkejut apabila mengetahui di dunia realiti sebenarnya dia tidak bertudung.

Pernah menerajui siri Papa Ricky, Fawa berpendapat bahawa semua orang berhak menyuarakan pandangan dan dia terbuka menerima setiap kritikan, apatah lagi sebagai pendatang baharu yang perlukan bimbingan. - UTUSAN ONLINE