Sebaliknya, Estranged lebih memilih untuk menjual lagu baharu tersebut menerusi jualan cekera padat (CD) yang boleh didapati di laman sosial, Facebook mereka, Estranged.

Vokalis Estranged, Rich Gimbang berkata, keputusan tersebut dibuat kerana mereka percaya bahawa Spotify dan YouTube tidak memberi pulangan yang munasabah kepada artis bebas yang telah berusaha untuk menghasilkan karya dan membuat rakaman. 

“Kami hanya percayakan hasil melalui penjualan CD, malah melalui jualan fizikal juga akan memberi satu pengalaman yang bersifat lebih peribadi. Pengalaman berbeza kerana pembeli dapat memiliki sesuatu yang fizikal daripada digital.

“Lagu itu juga adalah satu memento daripada Estranged khas untuk peminat setia kami semua. Setakat ini, kami sudah berjaya menjual 300 unit CD ketika Pesta Harapan yang berlangsung 15 September lepas,” katanya.

Kenyataan itu disokong, gitaris kumpulan tersebut, Din Hormatov yang turut mendakwa, mereka tidak mendapat pulangan yang lumayan dengan penjualan lagu di platfrom digital.

“Kita banyak lagu tapi tiada duit atau pulangan yang setimpal dan perkara ini amat menyedihkan,” kata ahli kumpulan yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-22 menerusi lagu Itu Kamu itu lagi. - UTUSAN ONLINE