Erry Putra
ERRY PUTRA
Malah bagi Erry atau nama sebenarnya Mohd Razlan Hamzah @ Ahmad, 39, dia percaya dengan ketentuan jodoh walaupun sebelum ini pernah kecewa apabila perancangan untuk mengikat tali pertunangan dengan bekas kekasih tidak kesampaian.

“ Siapa tidak mahu berkahwin, memang saya mempunyai perancangan ke arah itu. Sebelum ini saya memang mahu bertunang tetapi hubungan kami putus di tengah jalan,” katanya.

Ketika ini Erry tidak menolak hatinya sudah dimiliki seorang gadis. Malah dia sedang menunggu lampu hijau daripada kekasihnya untuk masuk meminang sekali gus menyunting gadis tersebut menjadi isterinya.

“Saya sudah ada pengganti dan hanya menunggu `lampu hijau’ daripadanya memandangkan dia seorang guru pelatih di sebuah sekolah. Jadi, dia meminta masa terlebih dahulu,” jelasnya.

Enggan berkongsi nama kekasihnya buat masa ini, kata Erry pertemuan pertama mereka berlaku ketika dia datang ke sekolah kekasihnya itu atas urusan kerja.

“Apa yang boleh saya beritahu dia berasal dari Perak dan merupakan seorang guru pelatih sahaja.

“Memang saya yang mendekatinya dahulu, Jangan risau kalau semuanya sudah disahkan saya akan kongsi,” tambahnya lagi.

Erry ketika ini sedang sibuk mempromosikan lagu terbaharunya berjudul Aku Tahu. Kali ini Erry juga turut berduet dengan adiknya Syafiq Putra,

Tambah Erry, dia bekerjasama dengan komposer baharu, Jonathan dari syarikat rakaman Macam Macam Music yang beroperasi di Sabah.

“Saya memang mahu memperkenalkan adik saya ke dalam industri dan ini adalah peluang yang baik untuk kami memulakan langkah kami bersama. Sebelum ini kami kerap buat persembahan bersama,” katanya. - UTUSAN ONLINE