Yalah, bukan setahun dua Ernie dengan FMC, rasanya sudah hampir sedekad mereka bersama-sama berjuang dalam industri seni. Dari mula Ernie melangkah dalam industrilah kiranya.

Sebab itu ramai yang terkejut dan tertanya-tanya, apa yang membuatkan Ernie betul-betul nekad untuk meninggalkan syarikat rakamannya itu? Poklip dengar banyak juga spekulasi tentang perpindahan tersebut.

Malah ada individu mendakwa Ernie sebenarnya tidak mengenang budi FMC yang selama ini bertungkus-lumus mengatur perjalanan seninya.

Ibarat kacang lupakan kulit, kata individu tersebut.

Dakwanya, kontrak Ernie dengan syarikat rakaman itu sebenarnya sudah tamat tempoh Ogos tahun lepas. Sebelum pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) lagi, tetapi FMC masih setia dan tetap membantu Ernie semasa bertanding.

Malah tambah sumber itu, Ernie dikatakan semakin nekad dengan keputusannya selepas isu kemurungan Haqiem Rusli yang turut membabitkan nama baiknya. Sebab itu dia didakwa sudah tawar hati dan berpatah arang dengan FMC.

Bagi Poklip, sama ada Ernie memilih untuk terus bersama-sama FMC atau berpindah ke syarikat rakaman lain, itu adalah hak dan keputusannya. Lagipun Ernie tidak melanggar kontrak.

Mungkin bagi penyanyi Jangan Marah ini, peluang untuk melebarkan sayap dalam industri seni mungkin lebih cerah jika bersama-sama syarikat baharu. Bukan bermaksud dia lupa daratan atau tak kenang budi.

Yang memanaskan cerita adalah kebetulan dia baharu sahaja diangkat sebagai pemenang vokal terbaik sewaktu AJL awal tahun ini jadi sudah pasti ada mulut-mulut yang bercakap kononnya Ernie tak kenang budi.

Apa pun, Poklip doakan agar Ernie terus berjuang dan jangan patah semangat.

Sudah tiba masanya bakat anda yang diperam bertahun-tahun lamanya disinarkan dengan lebih meluas dalam industri.