Melihatkan apa yang sedang dilalui oleh Noryn Aziz ketika ini, tiada siapa yang tahu apakah sebenarnya yang bersarang di dalam hatinya. Apa yang dilihat dengan mata kasar mungkin tidak menggambarkan gejolak di dalam sanubarinya.

Sudah tentu gemerlap kemilau populariti dalam bidang seni sedang melimpahi kerjayanya namun dia perlu berkorban juga apabila rumah tangga yang dibina dilanda badai yang tidak bertepi.

“Tidak ada siapa yang mahu terjerumus ke dalam masalah rumah tangga yang belum diselesaikan lagi. Sebagai wanita memang emosi saya ada turun dan naik sejak akhir-akhir ini. Bila rezeki dalam bidang nyanyian semakin murah, ada pula ujian lain yang datang dalam masa sama.

“Jika ada orang bertindak untuk mengelak apabila timpa ujian, saya tiada pilihan selain melaluinya sahaja. Sebab itu, saya panjatkan doa agar diberikan kekuatan untuk menghadapinya dengan tenang,” katanya mengatur butir bicara.

Umum sudah mengetahui yang rumah tangga dibina bersama dengan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Baharuddin sedang bergolak.

Oktober tahun lalu, ahli politik tersebut memfailkan tuntutan nusyuz terhadap dirinya dan kes tersebut masih dalam proses mahkamah.

Tidak perlu mendedahkan apa sebenarnya terjadi, Noryn masih mampu menguntum senyuman dan bergerak aktif dalam bidang seni.

Tambahnya, dia beruntung kerana masih dikelilingi keluarga, sahabat handai dan peminat yang sentiasa menitipkan semangat untuknya berjuang melalui dugaan ini.

“Orang selalu pesan agar saya sentiasa positif dalam menghadapi isu ini. Mana mungkin saya positif sentiasa kerana saya juga manusia biasa.

“Turun naik emosi adalah perkara biasa yang dihadapi dan saya berharap agar terus diberikan kekuatan untuk menghadapi kes ini dengan bijak. Semua ini adalah untuk anak!” kata Noryn bercerita.

Jelasnya, tiada apa yang boleh menghalang dirinya untuk terus berjuang mendapatkan keadilan bagi dia dan Umar, 5 tahun kerana baginya kehidupan akan datang perlu direncanakan sendiri.

Meskipun perlu terus bergelut dengan seribu satu masalah, dia tetap memilih untuk berjuang walaupun bersendirian.

“Siapakah mereka (orang lain) untuk menentukan masa depan saya sendiri? Hanya saya sahaja yang boleh menentukan masa depan sendiri. Sebab itu, saya harap dapat diberikan kebijaksanaan untuk menghadapi kes ini,” tambahnya.

MENGAKUI kebanyakan masa ketika ini dihabiskan dengan persiapan Konsert Soul Sisters, dia tidak mahu mensia-siakan peluang besar begitu sahaja.

Jelasnya, bukan mudah untuk dia menempatkan diri bersama Misha Omar dan Siti Sarah namun jika sudah tertulis rezeki di situ, dia bersyukur.

“Sebenarnya peluang sebegini bukan selalunya datang apatah lagi melibatkan konsert besar. Bila diberikan tawaran saya tahu ada sesuatu yang menarik melalui konsert ini.

“Selain mengenai gabungan kami bertiga, ini juga adalah konsert dengan bajet yang besar. Banyak kelainan dan perbezaan yang akan dinikmati oleh mereka yang hadir nanti,” katanya.

Konsert Soul Sisters yang diterbitkan oleh Edd Razhe Entertainment Sdn. Bhd. bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 5 dan 6 April hadapan.

Sudah memilih beberapa rangkaian lagu yang akan dibawa, Noryn juga sedang giat berlatih vokal bersama dengan Datuk Syafinaz Selamat yang juga bertindak selaku Pengarah Vokal untuk konsert ini.

“Kami sudah merancang dan berbincang mengenai konsep persembahan. Selain menyanyi secara solo, saya juga teruja dengan beberapa segmen yang menggabungkan kami bertiga.

“Ini adalah eksperimen yang menarik. Saya tahu konsert ini akan meninggalkan kenangan manis untuk semua,” tambahnya.

MENINGGALKAN seketika kisah duka yang sedang bersarang dalam dadanya, dia sebenarnya gembira kerana kemenangan dalam program Gegar Vaganza 2018 membuka mata khalayak dengan bakat yang ada dalam dirinya.

Jika perjalanan seninya selama ini hanya bersama dengan kelompok elit yang meminati muzik jazz, kini dia sudah mempunyai pelbagai latar belakang peminat sehinggalah orang kebanyakan.

“Ini antara perubahan yang berlaku sejak akhir-akhir ini apabila orang kebanyakan mula kenal dengan Noryn Aziz. Dahulu mereka mungkin tahu tetapi tidak mempedulikan saya.

“Sekarang persepsi dan pandangan mereka juga berubah. Jangan tak tahu saya juga sudah ada kelab peminat. Merekalah yang banyak menceriakan perjalanan seni sekarang,” tambahnya.

Tidak cukup dengan itu, dia juga sudah menjadi pilihan utama kepada beberapa produk yang mahu mendapatkan khidmatnya selain sibuk dengan bisnes tudung.

Berbangga kerana sudah mampu diterima orang kebanyakan, Noryn bagaimanapun sedang cuba sedaya upaya untuk menawan hati mereka.

Jelasnya, lagu-lagu lamanya yang berentak jazz, soul dan RNB agak sukar menambat hati sebahagian besar mereka namun dia cuba untuk ‘merakyatkan’ muziknya selepas ini.

Memilih Ajai dan Mac Chew sebagai komposer untuk lagu baharunya nanti, dia memilih rentak balada tetapi rancak sebagai taruhan.

“Saya tahu lagu balada yang mendayu-dayu lebih diterima baik oleh peminat. Tetapi untuk saya agak kurang sesuai dengan tona suara saya.

“Jadi dengan kebijaksanaan kedua-dua mereka, saya harap mampu memberikan bunyi yang menarik seterusnya dapat menambat hati peminat,” katanya yang menyasarkan untuk melancarkan lagu tersebut sedikit masa lagi.