Pernah popular menerusi beberapa buah single seperti Selingkar Kasih, Erti Kasih dan Pendusta Cinta, ternyata Rem begitu sinonim dengan lagu berentak balada.

Bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini, anak kelahiran Bumi Kenyalang itu tanpa berlengah teruja bercerita tentang kelahiran single terkininya yang diberi judul Sinar Kasih.

Masih mengekalkan genre yang sama sepanjang pembabitannya sebagai seorang penyanyi, Rem bagaimanapun memasukkan elemen muzik orkestra untuk memberi kelainan terhadap produk baharunya.

“Lagu ini adalah ciptaan Anuar Razak atau lebih dikenali sebagai A.R., manakala liriknya saya tulis sendiri.

“Suntikan muzik orkestra yang dipersembah menerusi Sinar Kasih menjadikan karya ini tampak mahal dan eksklusif.

“Sebab itu saya terus kekal dengan jalur muzik yang sama demi menyuaipadankan jenis lagu dan melodinya,” katanya.

Menurut Rem, lagu berkenaan telah lama disiapkannya sebelum menyertai Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) lagi tetapi ditangguhkan dahulu untuk memberi sepenuh perhatian terhadap pertandingan tersebut.

Katanya, pertemuan tidak sengaja dengan Anuar dalam sebuah program, sekali gus membawanya ke studio milik komposer tersebut.

“Kemudian, dia memperdengar lagu berkenaan dan ibarat cinta pandang pertama, saya terus jatuh hati mendengarkannya.

“Tidak pernah sebelum ini saya merasakan pengalaman muzik sebegitu. Melodinya terlalu istimewa dan unik. Tanpa berlengah, saya membuat keputusan untuk bekerjasama dengannya menyanyikan karya tersebut.

“Dia pun suka maka terjadilah kolaborasi ini. Saya juga tidak mengambil masa yang lama untuk menulis liriknya,” kata Rem.

Tambahnya, dia kini sibuk mempromosikan lagu tersebut dengan bantuan media massa termasuk menggunakan medium media sosial dan digital seperti Sportify, Joox serta YouTube. - Gambar JEFFRI IRAN


“Saya belum berhenti menyanyi”

Sepi tanpa sebarang publisiti meluas sejak menamatkan saingan di pentas GV3 membuatkan nama Rem tenggelam timbul, sekali gus ada ura-ura mengatakan dia merajuk.

Menjawab spekulasi tersebut, Rem atau nama sebenarnya tau Ramzani Kassim menepis dakwaan dia terasa hati dengan mana-mana pihak.

“Diam tidak bermaksud saya tidak aktif menyanyi. Sebaliknya, jadual seni saya berjalan seperti biasa. Bagi yang mengenali saya, mesti mereka kenal perangai saya.

“Jika tiada sebarang produk untuk dipromosikan atau diuar-uarkan, memang saya akan menyepikan diri sebab tak ada cerita untuk dikongsikan kepada umum,” katanya kepada Mega HITS.

Mengulas lanjut tentang karier nyanyiannya, Rem memberitahu, semenjak menyertai program realiti popular berkenaan, rezekinya di persada seni suara amat memberangsangkan.

Meskipun tidak seaktif dulu ketika dia meniti populariti menerusi seleksi lagu ciptaan Ajai, namun Rem bersyukur kerana masih boleh bernafas lega mengecapi nikmat bergelar penyanyi.

“Setakat ini, tawaran untuk menjayakan persembahan pentas sama ada majlis atau acara tertutup tak pernah putus-putus. Boleh dikatakan setiap minggu, ada saja pelawaan. Cuma persembahan di kaca televisyen sahaja tidak banyak.

“Mungkin sebab tak muncul di kaca TV membuatkan ramai peminat ingat saya sudah tidak menyanyi. Itu tidak betul,” tegasnya.

Dalam masa sama, Rem turut sibuk menguruskan restoran yang diusahakan bersama-sama kakaknya di kampung halaman dan kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Sibu, Sarawak bagi menjenguk perniagaannya.

Agaknya, disebabkan hal tersebut, timbul tanggapan mengatakan dia sudah meninggalkan karier yang diceburi lebih 20 tahun lalu itu.

Justeru, Rem berharap dengan kehadiran Sinar Kasih, lagu berkenaan dapat membuktikan betapa dia masih menyintai bidang nyanyian.