Memilih lagu bergenre rock balada ciptaan Gouffran dan Ibnu Rinkarnaen, Fareez yang kini bernaung di bawah FMC Music teruja menantikan perancangan syarikat rakamannya untuk mempromosikan single tersebut.

“Banyak dugaan yang saya lalui. Dua tahun mendiamkan diri selepas tamat program Mentor Milenia bukannya sebab tiada produk tetapi disekat atas sebab-sebab tertentu.

“Kemudian tamat saja kontrak dengan syarikat pengurusan lama, barulah peluang ini datang dan saya bersyukur impian untuk mengeluarkan single Bersamamu terlaksana,” katanya kepada Utusan Online.

Anak bujang kepada pelakon Fauzi Nawawi itu menambah, walaupun sebelum ini kelibatnya kurang kelihatan di kaca televisyen, dia bersyukur rezekinya dalam bidang nyanyian masih ada.

“Kadang-kadang, tidak semua persembahan diberi liputan oleh media. Sebab itu ramai ingat saya tidak aktif.

“Semoga syarikat pengurusan baharu ini dapat mencorakkan perjalanan karier seni suara saya agar lebih rancak, sekali gus masa depan yang lebih cerah dalam bidang nyanyian,” katanya.

Mengulas pembabitannya sebagai pelakon setelah membintangi filem Badang, Fareez tidak menolak andai rezekinya cenderung ke arah bidang lakonan seperti ayahnya.

“Saya ikut sahaja rentak industri. Kedua-duanya saya minat dan tidak kisah bergelar pelakon atau penyanyi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE