“Memang benar ada yang menawarkan diri untuk menjadi isteri saya sejak akhir-akhir ini. Ada yang simpati tak kurang juga yang benar-benar serius untuk membina perhubungan dengan saya.

“Ada pula yang datang ke rumah orang tua saya di kampung untuk bertanyakan sama ada saya mahu mencari isteri baharu atau pun tidak. Kalau difikirkan rasa lawak pun ada tetapi inilah realiti yang saya hadapi ketika ini,” cerita Hafiz Hamidun kepada Pancaindera.

Katanya, ada juga dalam kalangan ahli keluarga yang cuba mengenalkan dirinya bersama dengan beberapa orang wanita kenalan mereka. Namun begitu, dia sendiri belum terbuka hati untuk mencari pengganti baharu memandangkan kesibukan tugas seharian.

Tidak cukup dengan itu, dia juga sering kali menerima kiriman pesanan peribadi (direct message) di Instagram peribadi daripada ramai wanita yang cuba mengisi kekosongan hatinya. Namun, kata Hafiz dia masih belum terdesak untuk mencari mana-mana wanita sebagai pengganti dalam masa terdekat.

“Sebenarnya saya terharu juga apabila membaca beberapa kiriman pesanan peribadi daripada peminat. Sampai ke hari ini mereka masih ambil berat dan menitipkan semangat buat saya mengharungi hidup.

“Jangan risau, saya okey sahaja. Kes saya pun sudah lama berlalu dan tiada apa lagi yang hendak diperkatakan. Tak usahlah diungkit kembali cerita lama memandangkan saya sendiri sudah lupakannya. Apa yang penting masa hadapan,” kata lelaki berusia 34 tahun ini lagi.

Bagi menggembirakan hatinya, dia mahu menjadikan tahun 2018 sebagai tahun untuknya mengembara ke serata pelosok dunia termasuklah melawat ke Balkan dan beberapa negara yang termasuk di dalamnya mulai esok.

Tidak sekadar bercuti dan menikmati pemandangan di beberapa destinasi pelancongan dunia itu, Hafiz juga menggunakan waktu yang ada untuk menghasilkan karya baharu dalam bidang seni.

“Bila berada di luar negara, saya lebih gemar membuat beberapa pekerjaan sekali gus. Jika tidak mencari ilham untuk lagu baharu, saya akan merakam video untuk diletakkan di dalam YouTube.

“Tak seronok bercuti tanpa menghasilkan sebarang karya. Lagi banyak benda yang dihasilkan, lebih kreatif,” katanya yang akan melakukan misi kemanusiaan ke Jordan beberapa bulan lagi.

 

Karya baharu

TIDAK betah duduk diam, 
Hafiz sebenarnya hadir dengan lagu 
Jangan Berhenti yang diciptakan bersama 
dengan komposer Azlan Abu Hassan. Katanya, dia 
menggunakan ‘sejarah’ peribadinya untuk menghasilkan 
lirik sebagai pembakar semangat kepada orang luar yang berhadapan 
dengan masalah.

“Ini bukan lagu nasyid sebaliknya lagu pop. Saya ambil masa yang lama
 untuk menulis liriknya memandangkan mahu memberikan kesan yang mendalam kepada pendengar selain menyampaikan mesej positif.

“Bila melihatkan sambutan daripada peminat, saya mahu mereka terus positif dalam hidup. Jangan sesekali menyerah dengan masalah sedangkan masih ada banyak cara untuk menyelesaikannya,” tambahnya yang pernah menghasilkan lagu pop berjudul Janjiku dan Jodoh Berdua sebelum ini.

Tambahnya, dia yakin peminat akan menerima lagu ini sama ada diputarkan di radio atau pun tidak memandangkan Jangan Berhenti turut akan dipromosikan melalui media sosial termasuklah YouTube dan beberapa aplikasi muzik yang lain.

Sebagai pengkarya, mereka tidak boleh mengharapkan peranan radio semata-mata tetapi dalam masa yang sama perlu menggunakan kelebihan teknologi yang ada untuk terus berdaya saing.

“Semua stesen radio ada format mereka dan saya amat menghormati mereka. Jadi saya akan gunakan segala platform yang ada untuk mempromosikan lagu tersebut. Begitu juga dengan penyanyi lain,
 jangan sesekali mengalah dengan keadaan.

“Sekiranya karya tersebut berkualiti dan baik, tetap akan 
mendapat sambutan walaupun lambat. Apa yang penting 
adalah berusaha untuk memberikan
 yang terbaik,” tegas Hafiz.