Namun apa yang membanggakan pelakon Azhan Rani apabila banyak pihak sudah mula menyokong hasil kerja seninya selama ini. Sahamnya juga semakin melonjak apabila terus menerima tawaran kerja selepas lakonannya sebagai Ustaz Hamadi menerusi drama rantaian Nur.

 

Bersama Pancaindera, anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor ini mendedahkan impak cerita di sebalik populariti yang diraih. Juga cabaran yang dihadapi pada saat menempuh kemasyhuran ketika usia 43 tahun ini.

Pernah tak menduga pada usia 40-an sebegini baru boleh nak merasa erti glamor? Apakah selama ini orang tak perasan kehadiran anda?

Azhan: Memang betul pun tu, baru nak popular, tidak sangka sama sekali. Umur begini, dah agak terlewat untuk menikmati erti populariti. Orang perasan ke tak, saya tak kisahkan sangat, keadaan itu sebenarnya sudah tak relevan lagi buat saya. Sebab itu segala anugerah yang bersifat popular sudah tak penting lagi. Misi saya sebenarnya hanya mahu memenuhi kemahuan untuk menjadi pelakon sejati. Kedengarannya macam berlagak, bukan? Tapi itulah yang sedang menjadi fokus saya. Misi kedua, buang terus jenama Ustaz Hamadi. Watak tu sudah jadi sinonim dengan diri saya selama ini. Situasi itu jadi tak bagus untuk perkembangan kerjaya.

Maksudnya tidak suka dah dengan watak sebegitu? Bukankah itulah yang menaikkan nama anda?

Azhan: Jangan salah faham. Kalau diberi pilihan saya mahu angkat brek tangan, dah tak nak lagi dihantui watak itu selepas ini. Pada masa sama, saya juga memahami kehendak stesen televisyen dan syarikat produksi yang mahu mengaitkan pembabitan Ustaz Hamadi dalam naskhah drama itu seterusnya. Jadi perlu suntikkan elemen lain kalau mahu terus naskhah itu terus kekal dengan watak berkenaan.

Saya ada dengar cerita, kononnya Azhan dah bercadang naikkan harga 'servis' lakonan. Apakah benar?

Azhan: Maaf, perkara itu juga tiada dalam kamus hidup saya. Kena sedar, budaya kerja kita tak sampai ke peringkat itu lagi. Harga lama, masih turun lokasi penggambaran dan minta bayaran lepas habis kerja. Kalau nak tahu, bayaran standard yang diterima hari ini pun masih ada syarikat produksi yang minta pelakon kurangkan. Sebab itu saya rasa sangat mustahil untuk kita jadikan populariti sebagai tiket naikkan harga bayaran. Kalau menang anugerah berprestij sekalipun, janganlah buat. Kelak akan mencetuskan isu besar dan mengganggu periuk nasi sedia ada.

Apa kes yang tidak boleh dilupakan selepas jadi Ustaz Hamadi?

Azhan: Ada, macam-macam. Paling best, saya dapat call daripada seseorang yang mahu meminang saya.

Ha? Apa kes pulak tu?

Azhan: Katanya, nak pinang untuk kawan dia, seorang doktor. Entah dari mana hamba Allah ini dapat nombor telefon, saya pun tak tahulah. Dia kata nak rapatkan saya dengan kawan dia yang digambarkan sebagai wanita baik hati itu. Perbualan saya ini turut didengari tenaga produksi lain yang waktu itu duduk berhampiran.

Jadi, kesudahannya?

Azhan: Akhir sekali, saya tamatkan perbualan. Saya cakap sajalah, sudah ada kekasih hati. Hahahaha!

Sebenarnya memang sudah ada buah hati lah ni?

Azhan: Mana ada lagi. Buah hati saya itu adalah emak saya, Salmah Budin. Cukuplah dia seorang dalam hidup saya.

Macam tak logik, tak mahu cari pengarang jantung, suri hati yang bertakhta dalam hati ke?

Azhan: Sungguh, belum ada lagi.

Dalam Instagram bukan main lagi bergambar baju kahwin dengan Rita Rudaini. Ada cubaan ke macamana tu?

Azhan: Aduh! Kita tak payahlah cakap pasal isu ini, topik lain boleh tak?

Dengar cerita nak mendaki Everest Base Camp (EBC), Nepal tak lama lagi ya?

Azhan: Betul, ekspedisi itu sempena misi Mengibarkan Bendera Malaysia pada 31 Ogos hingga 16 September depan. Rombongan ini anjuran Summit Attack Resources (SAR) yang diketuai oleh Mohd, Fakhrul Munir Mohd. Isa. Bersama kami adalah 27 pendaki lain, enam daripadanya berasal dari Brunei. Penganjur yang sama membawa Amy Search ke Annapurna Base Camp (ABC) Annapurna pada tahun lalu. Doakan saya berjaya dalam misi ini ya.