Kumaran berkata, dia dengan rendah diri menerima permohonan maaf page berkenaan dengan menyifatkan setiap insan tidak lari daripada membuat sebarang kesilapan.

"Saya mengambil maklum dan dengan rendah diri menerima permohonan maaf itu. Saya juga memohon maaf andai kehadiran saya di situ mengguris hati mana-mana pihak.

"Saya hanya menjalankan amanah sama seperti Allahyarham Muhammad Adib. Masa untuk kita meninggalkan yang keruh dan mengambil yang jernih. Moga selepas ini tak ada lagi berulang," kata Kumaran dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Menurut Kumaran, setiap yang berlaku termasuk pemergian Muhammad Adib dan hantaran mengenai diri beliau di Facebook ada hikmah yang akan terlihat di kemudian hari.

GPS sebelum ini memuat naik sebuah hantaran yang mengritik kehadiran Kumaran yang dipilih untuk melakukan liputan majlis pengebumian Allahyarham Muhammad Adib.

GPS mendakwa sejak Gobind Singh Deo dipilih sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia banyak reformasi dilakukan termasuk tidak lagi sensitif dengan hal ehwal umat Islam.

"Antaranya tidak lagi sensitif penyiaran televisyen berkaitan dengan hal ehwal umat Islam.

"Wartawan Kumaran juga dipilih untuk melakukan liputan majlis pengebumian arwah Adib semalam," kata GPS.

Hantaran itu bagaimanapun kemudiannya dipadamkan berikutan mendapat kritikan banyak pihak termasuk dalam kalangan wartawan yang tidak senang dengan tuduhan tersbeut.

GPS dalam hantaran terbaharu memohon maaf kepada Kumaran dan menyifatkan kesalahan itu sebagai tidak disengajakan.

"Permohonan maaf ini ditujukan kepada rakyat Malaysia secara umumnya dan khusus kepada wartawan TV3 yang bertugas saudara Kumaran.

"Kami amat berterima kasih kepada saudara Kumaran atas profesionalisme liputan beliau dalam majlis tersebut. Pihak GPS amat mengalu-alukan sebarang nasihat dan kerjasama daripa semua dari masa ke masa," kata GPS.-UTUSAN ONLINE