Menurut Diana, dakwaan bahawa Farid merindui dua anak mereka, Muhammad, 5, dan Nor Auora, 3, seperti yang diluahkan pada adik aktor itu, Fadzil Bahari Zahari itu tidak benar sama sekali.

Ini kerana, kedua-dua anak pasangan itu dipelihara oleh ibu Diana, Norsiah Ramli yang kebetulan tinggal di tingkat bawah di kondominium yang sama dengan mereka setiap kali dia keluar bekerja.

“Berita itu (kenyataan Fadzil) sama sekali tidak benar. Maaf, saya tidak ada apa-apa untuk memberikan sebarang komen,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp.

Dalam sidang akhbar hari ini, Fadzil yang juga seorang pelakon dan penulis skrip memberitahu wartawan bahawa abangnya mengalami tekanan berpunca daripada kerinduan terhadap dua anak mereka.

“Ketika bertemu, dia (Fa­rid) beritahu saya bahawa dia sudah lama tidak berjumpa dengan dua anaknya. Dia kelihatan murung namun, saya tidak sangka dia bertindak sebegini.

“Dia mungkin mengalami masalah mental dan tekanan perasaan. Kami sekeluarga akan memberi sokongan moral terhadapnya termasuk membawanya berjumpa doktor pakar,” kata Fadzil.

Farid, 37, direman empat hari bermula hari ini setelah didakwa bertindak di luar dugaan de­ngan menampar seorang anggota polis ketika berada di kaunter Cawangan Trafik, Balai Polis Kota Damansara di sini semalam.

Diana yang ditanya mengenai ketiadaannya di mahkamah bagaimanapun tidak memberikan sebarang jawapan.