Menjawab soalan mengenai apa yang berlaku, Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Che Wan, 46, yakin apa yang tular mengenai adik iparnya hanya salah faham.

 

“Bukan saya seorang sahaja yang dikaitkan, malah anak saya Aaishah juga turut kena. Bagi saya apa yang berlaku lebih kepada salah faham sahaja. Mungkin nampak agak besar kerana kejadian itu tular.

“Tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, saya yakin ini melibatkan dua belah pihak,” jelasnya.
Ketika mereka di luar sana terus meletakkan kesalahan ke atas pelawak berkenaan. Che Ta nampaknya lebih senang untuk terus menyokong adik iparnya itu. 

Katanya, mengenali pelawak itu sebagai ahli keluarga ada sisi yang menyebabkan dia yakin dalam video yang tular itu bukan diri pelawak itu yang sebenar.

“Dia seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab selain seorang yang baik hati. Memang itu adalah dirinya yang saya kenal.

“Jika dia tahu ada sesiapa yang sakit, dia akan menjadi orang pertama yang akan hulurkan bantuan. Mungkin orang di luar sana melihat dia sebagai seorang yang kelakar sahaja tetapi kami dan ahli keluarga yang lain sangat menghormati sikapnya,” katanya lagi.

Menjelaskan keadaan keluarganya kini, kata Che Ta, sebagai kakak dia turut menangis  melihat apa yang berlaku. 

Namun, dia yakin dalam keadaan ini adik serta adik iparnya itu berada dalam keadaan yang baik dalam mengharungi satu lagi ujian hidup mereka.

 

“Bila saya tengok gambar dia (pelawak) ditangkap polis memang saya menangis sebab kita tahu dia macam mana.

“Bagaimanapun dalam keadaan ini kedua mereka berada dalam keadaan yang baik. Malah adik saya juga yakin mereka sedang diuji dan ada hikmah yang sedang menanti. Malah ketika ini adik ipar saya juga sudah memulakan aktiviti seninya kembali,” jelasnya.


Tak terkesan

Bukan mudah untuk menjadi selebriti, malah lebih mencabar untuk seseorang itu apabila terus menjadi sasaran pembuli siber. Tetapi melihat kekuatan yang dimiliki Che Ta dalam melayani pengguna laman sosial yang boleh dianggap biadab dalam melemparkan pelbagai tuduhan,  ketika ini dia tidak pernah terkesan dengan komen-komen yang ditinggalkan.

“Saya tidak ambil peduli, bagi saya kita ada pilihan untuk perkara seperti ini. Jika saya tidak suka boleh sekat sahaja pengguna itu dari terus melihat akaun laman sosial saya.

“Jujurnya saya tidak pernah terkesan dengan komen-komen warganet,” katanya.

Ketika dia menjadi sasaran komen tidak berasas warganet dalam laman sosial, nampaknya kerjaya Che Ta terus berkembang dengan baik. Malah sehingga saat ini dia masih menjadi pilihan jenama besar untuk menyuntingnya sebagai duta.

“Saya yakin mereka yang ingin bekerjasama dengan saya lebih memberi fokus kepada komitmen dan kemampuan saya untuk membawakan jenama mereka.

“Jadi komen-komen warganet ini bukan penanda aras untuk mereka menentukan perkara tersebut,” jelasnya yang membuat kemunculan istimewa di kedai barang kemas Habib Jewel, Ampang  baru-baru ini.  

Penampilan berbeza

Melihat penampilan terkininya, Che Ta yakin sudah sampai waktunya untuk dia menggayakan fesyen yang lebih sesuai. Tidak sekadar mahu dikenali sebagai wanita bertudung, kongsi Che Ta, sekarang dia lebih senang untuk mengenakan pakaian yang labuh dan lebih menutup aurat.

“Sejak awal tahun ini saya sudah mula mengubah penampilan. Tidak sekadar mahu bertudung, ketika ini saya lebih senang mengenakan pakaian yang longgar dan labuh.

“Walaupun sedang berusaha, apa yang penting saya istiqomah dalam melakukan perubahan ini sebab  saya tidak mahu sekadar membalut aurat sahaja sebab ia masih berdosa dan tidak sempurna,” katanya.

Bercakap mengenai perubahan ini, Che Ta yakin ilmu yang didapatinya melalui majlis ilmu selain perkongsian adik-beradiknya yang lain juga sedikit sebanyak membuka hatinya untuk melakukan perubahan ini.

“Kadang-kadang kita macam tahu semua benda tetapi bila kita belajar, kita dapati masih banyak yang kurang. Jadi tidak salah untuk terus belajar dan dalam masa yang sama memperbaiki diri.

“Dahulu bila dalam rumah kita rasa tidak mengapa tidak bertudung, tetapi tidak boleh kalau ada orang lain termasuk ipar duai kita. Apa yang perlu kita faham menutup aurat dengan sempurna itu wajib,” jelasnya.

Mengakui perubahan yang berlaku ini dalam keadaan yang tidak rela pada mulanya, kata Che Ta yang juga isteri kepada aktor Zain Saidin,  dia mengambil masa sebelum  benar-benar ikhlas.

“Memang pada mulanya agak sukar untuk menutup aurat dengan sempurna, tetapi lama kelamaan dengan sendirinya rasa ikhlas menjelma.

“Sekarang bila  pakaian yang saya kenakan tidak sempurna, saya pula akan rasa segan dengan diri sendiri,” jujurnya.

Meletakkan  diri sebagai sebab utama melakukan perubahan ini, kata Che Ta, dia yakin kemahuan mengatasi segalanya.

“Penting untuk kita tahu kesalahan diri dan dalam masa sama berusaha untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

“Saya bertuah mempunyai keluarga dan adik-beradik yang banyak membantu dalam memberikan sokongan dan ilmu,” katanya.