Mempertaruh single Di Matamu sebagai permulaan, tuah jejaka berusia 26 tahun itu ternyata menyebelahinya apabila karya itu diterima baik di negara jiran.

Sungguhpun baru dua tahun memahat nama sebagai penghibur, namun Sufian bersyukur apabila impiannya untuk memasarkan lagunya di luar negara terlaksana pada tahun ini.

Lebih membanggakan, Sufian bernaung di bawah Musica Studio yang turut melahirkan bakat-bakat besar di Indonesia antaranya Peterpan, Letto serta Nidji.

“Insya-Allah Februari tahun hadapan lagu, Di Matamu 2.0 akan dilancarkan di sana (Indonesia). Single ini diberi nafas baharu dari segi susunan muzik yang mendapat sentuhan daripada produser Indonesia.

“Begitu juga lagu ini akan dijadikan versi duet dengan kumpulan wanita bernama Shima. Akan ada vokal wanita untuk lagu ini yang saya rasa akan memberi nuansa baharu kepada karya tersebut.

“Saya harap lagu ini boleh memberikan sesuatu yang baharu dalam industri muzik dan pada masa sama, saya juga meletakkan harapan untuk orang suka akan lagu ini.

“Alhamdulillah, sampai sekarang lagu Di Matamu masih lagi dimainkan di radio Indonesia dan kami juga sentiasa mencari ruang untuk mempromosikan lagu ini, “jelasnya.

Tambah Sufian lagi, dia yakin dengan promosi yang telah direncanakan oleh pihak label di Indonesia berkenaan, malah meletakkan semuanya kepada pihak mereka demi kelangsungan karier.

“Musica Studio ialah sebuah label rakaman yang sangat besar di negara itu. Malah ramai artis terkenal seberang menaungi syarikat yang sama.

“Sudah tentu saya rasa berbangga bila sebumbung dengan nama-nama besar. Pada masa sama, tak banyak yang perlu saya risaukan apabila melibatkan hal-hal promosi kerana mereka sudah tahu apa hendak lakukan.

“Apa pun, sekali lagi saya cuma harap penerimaan pendengar yang baik-baik sahaja untuk versi baharu itu nanti,” katanya penuh berharap.

Pulih selepas batuk berdarah

SEMENTARA itu, Sufian berkongsi keadaan dirinya yang berdepan masalah kesihatan sehingga mengalami pendarahan. Tahap kesihatannya semakin serius selepas dia menjayakan persembahan pentas untuk sebuah majlis anugerah yang berlangsung baru-baru ini.

“Saya mengalami demam panas sehari selepas mengadakan persembahan nyanyian tersebut. Sebelum itu, saya batuk-batuk hingga melarat sampai berminggu-minggu.

“Setiap pagi bangun daripada tidur saya akan batuk tetapi tak sangka pula batuk saya serius sampai berdarah.

“Bimbang dengan keadaan diri yang tak pulih-pulih, saya membuat beberapa ujian kesihatan antaranya pemeriksaan demam denggi dan tibi. Syukur keputusan yang dikeluarkan negatif,” kongsinya.

Mengakui doktor ada menasihatinya untuk berehat bagi membolehkan luka pada tekaknya pulih, namun Sufian terpaksa menggagahkan diri untuk membuat persembahan biarpun dalam keadaan tidak sihat.

“Doktor ada nasihatkan saya untuk tidak menyanyi sehingga keadaan benar-benar sembuh. Tetapi saya tetap ke satu persembahan di Melaka, walaupun secara jujurnya persembahan saya ketika itu amat teruk.

“Tetapi saya sudah memberitahu keadaan saya yang kurang sihat dan bersyukur penonton faham. Malah mereka sangat sporting untuk menyanyi bersama-sama dengan saya.

“Alhamdulillah sekarang ini batuk saya sudah semakin berkurangan dan luka pun telah sembuh. Cuma saya masih lagi mengambil ubat-ubatan yang diberi oleh doktor selain mengamalkan rawatan secara alami seperti madu dan herba,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Sufian berkata, fokusnya kini mahu memastikan dirinya berada dalam kondisi yang baik sebelum berentap bersama-sama penyanyi lain yang mara ke separuh akhir Muzik-Muzik 33.

Harapannya tinggi untuk memastikan lagu Di Matamu mencapai kejayaan apabila karya Sirkhan dan Rinkarnaen itu menempah tiket untuk bersaing dengan 29 lagu lain.

“Saya meletakkan jangkaan dan harapan yang tinggi untuk lagu Di Matamu. Saya percaya dengan kekuatan lirik serta melodi di sebalik lagu ini walaupun saya akan berdepan dengan ramai pesaing yang hebat.

“Tidak akan ada latihan intensif sebagai persediaan pada malam pertandingan, malah saya hanya akan menyanyikan lagu itu dengan versi asal.

“Walaupun ini bukan kali pertama saya pernah bertanding dalam Muzik-Muzik, cuma kali ini saya nak sampaikan lagu itu dengan relaks sahaja.

“Yang penting ketika ini ialah saya nak memastikan tekak kembali sembuh dan kesihatan tidak terganggu pada saat akhir,” ujarnya yang berharap lagu itu berjaya layak ke acara kemuncak Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33).