Drama yang telah mula bersiaran pada 2 Januari lalu melalui slot Azalea di TV3 menampilkan barisan artis popular antaranya Noorkhiriah, Zul Ariffin, Ku Fridah, Wan Sharmila, Tunku Hanis, Ungku Ismail dan juga Delimawati.

Menurut Azma, drama ini mengisahkan bagaimana sebuah keluarga boleh rosak disebabkan perasaan benci dan juga percintaan seorang anak kepada ibu yang membencinya.

"Jalan cerita drama terbaru saya ini pastinya banyak bermain dengan emosi penonton dan memang itu niat saya untuk membawa penonton menjiwai perasaan Aishah yang dilakonkan oleh Noorkhiriah.

"Sebab babak-babak berat dan emosi yang saya tonjolkan dalam drama ini adalah hasil kajian saya terhadap minat penonton sendiri," katanya yang banyak menerima pendapat daripada ahli keluarganya.

Menurut Azma lagi, semenjak memulakan karier sebagai pengarah, dia sudah semakin kurang mendapat tawaran untuk berlakon tetapi menegaskan minatnya terhadap bidang lakonan masih wujud.

"Minat saya dalam dua bidang ini seimbang, saya mahu berjaya dalam kedua-duanya tetapi saya tidak rasa saya boleh menjadi pelakon dan pengarah dalam masa yang sama," tambahnya yang kini berusia 30 tahun.