Berilah apa genre sekalipun, sama ada kepunyaan sendiri atau milik penyanyi lain, Dayang Nurfaizah, 37, tidak menghampakan, malah mampu menyanyi dengan penuh cemerlang.

Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa pelantun lagu Selagi Masih Ada Cinta ini sebenarnya cukup teliti memilih lagu.

DAYANG Nurfaizah akui mengambil masa dan cukup teliti membuat pilihan terhadap lagu-lagu yang dinyan
DAYANG NURFAIZAH akui mengambil masa dan cukup teliti membuat pilihan terhadap lagu-lagu yang dinyanyikan. 

Dayang yang ditemui selepas membuat persembahan dalam konsert Tremendous JOOX Live 2018 baru-baru ini mengakui perkara tersebut.

Katanya, dia sentiasa mencari kelainan dalam lagu yang akan dinyanyikan.

“Masih dalam proses mengumpul dan saya ada bertanya kepada mana-mana individu yang ingin menyumbang lagu.

“Sejujurnya, saya ambil masa untuk pilih lagu yang betul. Kalau ikutkan hati, saya nak cari kelainan, namun masih belum jumpa.

“Masih terlalu awal untuk saya perkatakan tentang single seterusnya, bergantung kepada lagu yang dipilih nanti,” katanya kepada S2.

Seperti penyanyi lain, Dayang tidak terkecuali melalui proses yang rumit dalam pemilihan lagu.

Jelas penyanyi kelahiran Sarawak ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian agar lagu yang dibawakan mempunyai kelainan dan dekat dengan cita rasa pendengar.

“Prosesnya agak lama. Saya perlu ambil masa, dengar dan bayangkan jenis susunan muzik serta beberapa elemen lain sebelum membuat pilihan.

“Tambahan pula, kebiasaannya penyanyi sekarang akan tampil dengan single berbanding album penuh. Jadi, pilihan (lagu) kena betul,” katanya lagi.

Ditanya tentang komposer atau penulis muda, Dayang memberitahu, dia terbuka untuk bekerjasama dengan mereka.

Malah katanya, dia pernah berkolaborasi dengan komposer dan penulis muda dalam album berjudul Dayang Nurfaizah yang diterbitkan pada 2017.

“Dalam album, saya titik beratkan keseimbangan. Ramai komposer baharu tampil dengan idea segar dan itu sebenarnya memberi kelainan terhadap produk dihasilkan.

“Begitu juga dengan komposer lama yang ada kelebihan sendiri. Oleh itu, saya seronok bekerja dengan mana-mana komposer dan penulis lirik,” ujarnya.