Menyertai program itu pada 2005, kata Daniel bertahun juga dia terpaksa berdepan dengan situasi ekonomi merudum. Masalah kewangan yang teruk menyebabkan dia tersepit antara minat dan realiti hidup.

“Akhirnya saya mengalah. Ayah menyarankan saya membantunya mengendalikan bisnes makanan laut sejuk beku yang diusahakan dan saya sahut dengan jiwa yang berat.

“Saya tahu ia tiada kaitan langsung dengan dunia hiburan tetapi kalau diri pun umpama sudah mahu mati, tak cukup makan, saya tiada pilihan,” katanya membuka cerita.

Pada awalnya bukan mudah untuknya menghadam realiti hidup apa lagi sejak dilanda demam popular secara tiba-tiba. Dia langsung tidak terfikir untuk melakukan kerja-kerja biasa.

“Bohong kalau saya katakan tak merasa malu awalnya. Iyalah, sudah biasa glamor kemudian kena buat kerja biasa mestilah terasa kekok.

“Menguruskan bisnes ayah, saya lakukan semua perkara dari A sampai Z, termasuklah menghantar pesanan dari pintu ke pintu rumah pelanggan.

“Kata ayah, saya kena belajar dan satu hari nanti ia akan menjadi satu pelajaran amat bermakna. Ternyata apa yang dikatakannya benar sekali,” tambahnya.

Imbasnya, dia juga pernah bekerja sebagai seorang pembancuh kopi (barista) selama setahun dan pengalaman itu baginya benar-benar mengajar erti kehidupan.

Tidak mahu merungut, Daniel sedar dia perlu bekerja walau apa pun tugasnya memandangkan komitmen bil setiap bulan perlu dibayar.

“Saya pernah terpaksa jual kereta sendiri sebab tak ada duit. Nasib mula berubah apabila seorang ahli perniagaan menawarkan pekerjaan sebagai penerbit muzik dua tahun lepas.

“Saya anggap ini pembuka rezeki buat saya dalam dunia seni setelah lama putus asa,” katanya.

Kembali

Mahu kembali mewarnai dunia hiburan, Daniel yang merancang menghasilkan lagu berbahasa Melayu bagaimanapun sedar suasana dalam industri tidak lagi sama seperti dahulu.

Mengaku mengalami kejutan budaya setelah lama meninggalkan industri, dia bersetuju kuasa tular dan media sosial mempunyai pengaruh besar pada waktu ini.

“Ketika pertandingan Malaysian Idol dulu orang masih lagi tengok televisyen dan saya akui popular pun kerana itu. Sekarang berbeza, kalau nak buat cara dulu memang tak boleh dah.

“Sekarang, kalau orang lama sekali pun, semua kena buat dari bawah. Dari satu sisi, bagus juga sebab ia meningkatkan inisiatif daya saing yang sihat,”katanya.

Menganggap dirinya bertuah kerana masih ramai kalangan teman media cetak dan elektronik memberi sokongan padanya, Daniel terharu kerana dirinya tidak pernah dilupakan.

 

Kahwin

Penyanyi lagu Mimpi ini turut berkongsi dia juga bakal menamatkan status bujangnya dengan wanita pilihan bernama Sue Ming dalam tahun ini.

Biarpun sedikit terlewat berbanding sahabat lain, Daniel yang berusia 37 tahun bagaimanapun positif menerima ketentuan jodohnya setelah melamar Sue di Korea Selatan pada Oktober 2018.

“Tak ramai yang tahu mengenai perkara ini, saya memang tak buka mulut. Sebab itulah ramai yang terkejut sebab saya tak pernah canang bercinta dengan sesiapa dan tiba-tiba nak kahwin.

“Kami dipertemukan dengan cara yang sangat unik. Macam pepatah Melayu, jodoh di depan mata. Rupanya dia selama ini berada dekat sahaja dengan saya terutama di gereja yang kami selalu pergi.

“Apa pun, saya harap segalanya berjalan dengan baik seperti yang dirancang,” katanya.