Menurut Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, penambahan jumlah penonton yang hadir ke panggung bersempena cuti hujung minggu untuk menonton filem bergenre aksi itu telah mengubat sedikit kekecewaan yang dirasakan sebelum ini.

“Melihat jumlah penonton yang semakin bertambah, diharap senario itu mampu mendorong pihak pempamer membuat keputusan menambahkan bilangan panggung atau kekerapan tayangan filem ini.

“Berbalik semula kepada asas ekonomi, jika ada permintaan, maka akan ada penawaran.

“Justeru, saya menyeru kepada semua peminat One Two Jaga, anda layak jadi penghasut untuk menghasut orang ramai ke panggung supaya menonton filem ini,” memetik kapsyen yang dimuat naik dalam laman Twitter peribadinya.

Terdahulu, Nam Ron meluahkan kekecewaannya terhadap segelintir individu yang kononnya teruja mahu menonton filem pertama terbitan syarikat produksi Pixel Play Entertainment, milik Bront Palarae itu.

Dek sambutan dingin tersebut, Nam Ron berseloroh menyuarakan kesanggupannya untuk menghasilkan filem porno Malaysia, semata-mata demi memenuhi cita rasa dan selera penonton di sini.

One Two Jaga memaparkan perihal segelintir anggota pasukan beruniform yang mengkhianati negara apabila menjerumuskan diri dalam kegiatan jenayah sekali gus membudayakan amalan rasuah.

Dibarisi aktor hebat Malaysia seperti Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Rosdeen Suboh, Chew Kin Wah, Iedil Putra, filem berkenaan pernah diberi penghormatan untuk dipertontonkan lebih awal di Itali serta Amerika Syarikat.

Selain itu, dua bintang dari Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail serta aktor remaja popular Filipina, Timothy Castillo turut membintangi filem yang diadaptasi daripada novel berjudul serupa nukilan Sahidzan Salleh itu. - UTUSAN ONLINE