Malah dalam keadaan sekarang juga suaminya Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali dengan Datuk Red, 40, menjadi penyokong utamanya untuk kembali aktif dalam bidang seni.

“Hidup berumah tangga memang ada pasang surutnya. Bagaimanapun dalam keadaan sekarang tiada apa yang mahu saya kongsikan mengenai rumah tangga saya lagi.

“Akan ada masa yang lebih sesuai untuk itu. Saya masih lagi isteri dan ibu kepada dua anak dan kehidupan peribadi saya bukan lagi fokus yang perlu dikongsikan bersama mereka di luar sana.

“Soal suami pula, dia tidak pernah menghalang minat saya untuk terus bergelar seorang penyanyi dan ini yang saya lakukan sekarang dengan membuat kemunculan kembali,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu terbaharunya Pujaan Hati baru-baru ini.

Enggan mengambil kisah akan persepsi warganet yang terus meneka keadaan rumah tangganya, bagi Adira buat masa ini tiada yang lebih penting selain `mengambil pusing’ akan keperluan diri dan keluarganya sahaja.

Malah dia juga tidak akan sesekali menjerumuskan diri dalam keadaan tidak enak dengan membaca komen-komen yang ditinggalkan.

“Saya tidak boleh halang orang luar untuk buat persepsi sendiri. Bagi saya itu hak mereka.

“Saya hanya akan berkongsi apa yang perlu sahaja dalam laman sosial. Buat masa ini juga saya tidak pernah terkesan dengan komen-komen negatif yang ditinggalkan memandangkan saya tidak akan membacanya,” katanya jujur.

Membawa status isteri nombor dua, ternyata ibu kepada Anggrek dan Assan yang masing berusia dua tahun dan empat bulan juga tidak melihat ada keperluan untuk suaminya lebih menonjol tentang hal peribadi.

Malah ketidakhadiran suaminya ketika majlis pelancaran lagu tersebut juga bukan sesuatu yang pelik, kongsi Adira.

“Bukan perkara baharu dia tidak mengikut saya ketika bekerja. Sebab saya perlu faham dia juga ada perniagaan sendiri dan dalam masa yang sama ini adalah kerja saya.

“Lagipun, saya juga tidak setuju untuk dia lebih menonjol,” katanya jujur.

Sama seperti rakan penyanyi lain Adira juga turut bersedia dengan strategi dalam memastikan namanya kekal relevan dalam industri. Malah ketika ini juga dia tidak kisah sekiranya ada yang menggelarkan dia sebagai penyanyi runut bunyi.

“Saya tidak kisah untuk mendapat gelaran tersebut, bagi saya itu adalah sesuatu yang baik juga untuk karier.

“Dalam tempoh sekarang juga saya juga tidak sangka lagu Pujaan Hati yang menjadi runut bunyi drama drama bersiri Pujaan Hati Kanda yang sedang disiarkan di TV3 mendapat tempat di hati peminat. Saya anggap ini rezeki.

“Tetapi tidak dinafikan saya juga mahu pastikan lagu ini mampu bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu, sebab memang ini menjadi impian mana-mana penyanyi sebenarnya,” katanya.

Mengikuti perjalanan seninya sepanjang bergelar penyanyi tidak dinafikan ada yang pahit.

Namun bagi Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 27, tiada sebab untuk dia tidak bersyukur dengan peluang yang terus diberikan untuk kembali menyinar dalam bidang ini.

“Untuk tahun 2019 ini, saya sudah berjanji untuk memberikan komitmen terhadap dunia nyanyian. Tidak mahu lagi pandang belakang, memandangkan keputusan untuk kembali aktif ini dibuat oleh saya sendiri.

“Lantas saya perlu konsisten, itu janji saya.

“Kehilangan saya sebelum ini bukan sebab saya mahu meninggalkan dunia nyanyian tetapi kerana mengandung anak pertama dan kedua jadi saya ambil waktu dahulu sebelum mampu kembali.

“Tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri tidak menjadi penghalang untuk saya meletakkan karier nyanyian di hadapan seperti sebelum ini memandangkan dalam waktu sekarang juga, ramai yang boleh bantu,” katanya.

Muncul dengan lagu berjudul Pujaan Hati, ketika ini tidak dinafikan nama Adira kembali menjadi perhatian.

Sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan, namun pinta Adira dia enggan lagi menjadi magnet kontroversi.

“Kalau boleh memang saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan apa-apa kontroversi. Dengan status saya sekarang rasanya cukup tidak adil kalau tempias ini turut dirasai anak-anak saya nanti.

“Cuma apa yang perlu mereka faham, kontroversi ini bukan semua datang daripada artis itu sendiri. Justeru, saya tidak boleh buat apa-apa untuk mengelaknya,” jelasnya.

Sementara itu bercakap mengenai muzik video lagu tersebut, Adira tidak menolak babak bersentuhan yang berlaku antara dia dan pelakon lelaki di dalamnya lebih kepada cara untuk menghidupkan jalan cerita.

“Saya hanya melakonkan babak tersebut untuk menjiwai watak seperti dikehendaki jalan ceritanya.

“Saya juga sudah bersedia jika babak ini akan mendapat kecaman daripada warganet nanti. Sebab ini adalah perkara biasa untuk saya,” katanya jujur.