Mohar memberitahu, dia mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk menghasilkan komposisi lagu tersebut yang diinspirasikan daripada bunyi alami atau alam semula jadi.

“Lagu-lagu yang sedang saya hasilkan sesuai dimainkan di spa atau sebarang lokasi bagi meredakan tekanan sekali gus mewujudkan rasa rileks dalam diri.

“Saya menjadikan bunyi-bunyian semula jadi seperti bunyi kicauan unggas, deruan air, tiupan angin sebagai asas utama dalam pembikinan lagu tersebut.

“Satu lagu durasinya agak panjang, kira-kira 10 minit. Sebab itu saya cuma muatkan empat atau lima lagu sahaja menerusi album itu nanti,” jelasnya kepada Utusan Online ketika ditemui di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Elmina, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohar yang kini bergerak solo terlibat dengan sebuah program khas anjuran Prolintas yang dinamakan Buskers Corner @ GCE dengan kerjasama ONR Production.

Menurut Mohar, selain dirinya, terdapat enam lagi pemuzik lain turut terbabit dalam program yang julung kali dianjurkan oleh syarikat konsesi lebuh raya itu di beberapa lokasi hentian R&R.

“Saya akan berada di sini pada hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad, dari pukul 2 petang sampai 10 malam.

“Program ini membuktikan Prolintas amat menghargai bakat pemuzik-pemuzik jalanan. Malah mereka adalah yang pertama menganjurkan program seumpama ini.

“Bahkan, sudut yang disediakan juga sangat strategik, lengkap serba-serbi. Idea yang diketengahkan Prolintas amat praktikal dalam menjadikan R&R bukan sekadar tempat makan dan berehat tetapi hab pengguna lebuh raya untuk menikmati suasana lebih santai,” katanya.

Selain diperdengarkan alunan muzik busker, Prolintas juga menyediakan tempat khas untuk aktiviti jualan bonet kereta (car boot sale). - UTUSAN ONLINE