Awalnya dia seakan-akan enggan untuk ditemu bual. Mungkin bagi dirinya, sudah tiada lagi madah bicara untuk dikongsi. Segala-gala cerita duka, ditanam di dalam hatinya.

Namun selepas dipujuk dirayu, dia mengalah. Tenang menghirup udara mengosong minda untuk seketika, perlahan-lahan dia menyusun kata-kata menjadi jawapan.

Membuka gelanggang bicara, soalan terarah bagaimana kehidupan selepas dia melalui satu episod hitam dalam diari hidupnya? Di mana datangnya kekuatan yang dikumpul selama ini?

“Anak-anak adalah kekuatan saya. Keluarga saya adalah segala-galanya untuk saya. Kami bahagia bersama-sama. Keluarga saya jenis bising, habis riuh rendah satu rumah kalau berkumpul.

“Tak pernah rasa sunyi sebab semua mulut becok. Alhamdulillah, kerjaya dan kehidupan saya berjalan seiring ke arah yang lebih baik. Saya bersyukur dengan kehidupan ini,” kata penyanyi lagu Madah Berhelah itu.

Tetap memendam cerita di dalam lubuk hatinya, Ziana tidak suka dan tidak mahu untuk terus menjaja 'cerita dalam kain'. Cukuplah setakat ini dia meluah rasa yang terpendam.

Bagi penyanyi dan pelakon hebat ini, dia hanya mahu terus melangkah ke hadapan mengumpul cerita yang indah-indah belaka tanpa dibebani kisah duka lara yang pernah singgah dalam hidupnya.

“Yang sudah terjadi, biarkan sahaja berlalu pergi. Tak perlu untuk saya terus bercerita. Saya tak suka dan seboleh-bolehnya tak mahu untuk mengulas lebih lanjut perkara yang berlaku.

“Kita teruskan sahaja hidup dan menikmati kebahagiaan yang ada kini. Saya dan anak-anak juga sangat menghargai kebahagiaan yang dikecapi. Cukup setakat itu,” kata wanita besi ini.

Diusik soalan, tidak adakah gerangan jejaka yang cuba mengetuk pintu hatinya? Sementelah, dia masih kekal anggun dan tampak muda pada usia mencecah 50 tahun.

“Sejujurnya memang tidak ada lelaki yang mencuba mengurat saya. Mungkin muka saya garang jadi mereka tak berani nak dekat. Malah saya pun cuba mengelak.

“Saya bukan seorang wanita yang mudah memberi cinta kepada sesiapa. Saya gembira dengan hidup sekarang. Fokus kepada anak-anak dan kerjaya. Itulah erti kebahagiaan saya,” katanya.

Bicara soal album baharu

Terus bercerita soal kerjaya, Bintang Paling Popular 1995 ini bakal melancarkan album baharu tidak lama lagi. Namun dia masih mencari masa dan mood sesuai untuk merakam lagu.

Mengakui bukan mudah untuk dia merakam sesebuah lagu, penyanyi ini tidak mahu ambil mudah bab lagu baharu. Semuanya harus sempurna dan hanya yang terbaik untuk peminat.

“Saya sudah ada lagu, tinggal hendak rakam sahaja. Saya memang merancang untuk mengeluarkan album, kalau boleh tahun ini. Tapi dengan apa yang terjadi, saya perlu simpan dahulu perancangan itu.

“Beri saya masa dan bersabar sedikit. Bukan senang hendak rakam lagu, kena cari mood sesuai. Mungkin hati saya sudah jadi batu sebab itu susah nak nyanyi lagu sedih,” katanya.

Tidak mahu tergesa-gesa dalam mengeluarkan album, Ziana bagaimana pun memberanikan diri untuk melawan arus industri yang kini lebih terarah ke dunia digital.

“Kita kena berani mencuba. Sama ada jadi atau tidak, itu semua sudah tertulis. Saya tak mahu terburu-buru hendak buat album. Bukan senang hendak cari lagu yang baik,” katanya.

Kembali mewarnai dunia drama dan filem tempatan menerusi drama Mak Cun dan filem baharu, Gol and Gincu Vol.2, Ziana bagaimanapun tidak mahu terlalu tamak dalam menerima semua tawaran yang mendatang.

Dia lebih memberi fokus kepada tugas sebagai ibu kepada empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18; Muhammad Ammar, 14; serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

“Saya hendak rileks dahulu. Tak mahu terima semua tawaran. Ada tawaran berlakon drama bersiri, tapi kalau saya terima, siapa nak uruskan anak-anak? Saya sendiri uruskan mereka.

“Tapi kalau tawaran bagus, skrip bagus dan jalan cerita juga menarik, saya terima sahaja. Saya buat semua ini demi kelangsungan hidup anak-anak,” katanya menutup bicara.